1.0
Pengenalan
Bermula
dengan populariti Facebook yang pada asalnya dilancarkan pada 4 Februari 2004
oleh Mark Zuckerberg sebagai media untuk saling mengenal dan berkomunikasi
serta berkongsi maklumat bagi mahasiswa Harvard pada sebuah tapak rangkaian
sosial, justeru kini telah popular di seluruh dunia. Malah dikatakan bahawa
seandainya Facebook adalah sebuah negara ia akan menjadi negara terbesar nombor
tiga di dunia (Mohd. Hamdan 2011)[1]. Manakala Twitter yang awalnya dirancang
untuk digunakan sebagai aplikasi pendukung dalam pekerjaan dan berkomunikasi
dalam kumpulan kecil, sekarang ini justeru menjadi microblogging perkongsian
maklumat terbesar di dunia (Hughes & Palen 2009) dengan kebolehannya
menyampaikan 350 juta Tweets per hari yang didominasi oleh pengguna generasi
muda[2].
Tidak
kira sama ada dari segi teknologi, politik, ekonomi, hiburan, sukan, Penerimaan
Media Sosial: isu semasa, segala maklumat sangat mudah & cepat didapati
dari media sosial. Kadang kala maklumat yang ada di media sosial tidak tertulis
dalam surat khabar ataupun tersiar di kaca televisyen malah media sosial juga
turut membantu menyebarkan budaya popular. Kemudahan yang disediakan dalam
mengakses akaun media sosial telah menyebabkan meledaknya jumlah penggunanya
dari tahun ke tahun.
Di
samping itu, kehadiran media sosial telah membawa kepada perubahan ke arah
penyertaan masyarakat secara online. Penyertaan masyarakat bukan hanya terjadi
di dunia nyata tetapi juga di dunia maya (Ali & Samsudin 2012)[3]. Malah,
media sosial telah memberikan impak terhadap penglibatan masyarakat dalam isu
semasa. Penglibatan ini meliputi aktif mengikuti perkembangan isu semasa
menerusi blog, membentuk online group untuk menyampaikan aspirasi, membuat blog
tentang isu semasa, memberi komen dalam berita online, artikel/ blog, mengambil
bahagian dalam online discussion, memuat turun ataupun menyebar luaskan berita
yang berkaitan dengan isu semasa (PewInternet 2009; Ali & Samsudin 2012)[4].
2.0 Sejarah dan evolusi media social
Pada
era kemodenan sekarang, media massa atau media sosial tidak asing bagi kita
memandangkan penggunaannya yang meluas dalam kehidupan seharian kita. Media
sosial menjadi pilihan utama semua golongan masyarakat tanpa mengenal usia,
latar belakang dan sebagainya menggantikan media bercetak. Sebelum wujudnya
media sosial, media bercetak seperti surat khabar, majalah dan buku telah
digunakan untuk menyebarkan maklumat kepada pembaca. Tidak dinafikan media
bercetak masih lagi digunakan pada masa sekarang tetapi media sosial tetap
menjadi pilihan utama kita dalam mendapatkan pelbagai maklumat memandangkan
kita boleh mendapat semua maklumat yang kita perlukan tanpa mengira tempat dan
masa dalam media sosial.
Menurut Andreas Kaplan dan Michael Haenlein,
media sosial didefinisikan sebagai sebuah kumpulan aplikasi berasaskan internet
yang membangun atas dasar ideologi dan teknologi Web 2.0 dan yang membolehkan
penciptaan dan pertukaran. Sejajar dengan definisi ini, kita dapat tafsirkan
media sosial merupakan satu platform yang digunakan bersama dengan sambungan
internet untuk mengakses sebarang maklumat. Kita masih lagi boleh menggunakan
media sosial tanpa internet tetapi kita akan mendapat akses yang terbatas dan
ini akan menyukarkan proses mencari maklumat . Dengan adanya internet, kita
dapat mengakses sebarang maklumat yang kita hendaki dari seluruh pelosok dunia
tanpa had. Selari dengan kemajuan teknologi, media sosial telah mempermudahkan
lagi segala urusan harian manusia. Oleh itu, pelbagai langkah dan inisiatif
telah dilakukan oleh kerajaan untuk mempertingkatkan lagi kualiti dan mutu
media sosial untuk kebaikan sejagat.
Di
antara media sosial yang digunakan secara meluas pada masa sekarang ialah
Facebook, Twitter, Instagram dan blog. Sebagai contoh dalam Facebook, setiap
daripada kita bebas untuk menulis pendapat kita, berkongsi maklumat dan memberi
maklum balas untuk bacaan umum tanpa batasan waktu dan tempat. Diringkaskan
media sosial mengajak sesiapa sahaja yang berminat untuk memberi sumbangan dan
maklum balas secara terbuka, memberi komen, serta berkongsi maklumat dalam masa
yang cepat dan tidak terhad. Sama juga seperti penggunaan blog yang semakin
bertambah saban hari umpama cendawan tumbuh selepas hujan. Di dalam blog,
blogger akan berkongsi pelbagai maklumat seperti resepi untuk orang yang suka memasak,
pengalaman ketika bercuti yang boleh dijadikan sebagai rujukan orang lain
sebelum keluar melancong, perkongsian maklumat tentang gajet untuk masyarakat
yang meminati gajet dan tips-tips kecantikan dan fesyen bagi golongan yang
mementingkan kecantikan. Namun tidak kurang juga blogger telah menyalahgunakan
blog sebagai tempat yang boleh merosakkan minda masyarakat yang masih tidak
mampu membezakan benda baik dan benda tidak baik seperti golongan remaja yang
masih berada di bangku sekolah. Oleh itu pemantauan dari orang dewasa
diperlukan untuk mereka menggunakan media sosial.
Ketika
teknologi internet dan penciptaan gajet semakin maju, media sosial juga turut
membangun dengan pesat. Kini untuk mengakses Facebook atau Twitter misalnya,
ianya boleh dilakukan di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa dengan hanya
menggunakan sebuah telefon bimbit sahaja. Namun media sosial tidak dapat
diakses jika tiadanya langganan internet untuk telefon bimbit tersebut.
Penggunaan telefon pintar memudahkan lagi para pengguna untuk berkongsi
sebarang maklumat tanpa batasan waktu dan tempat. Sebagai contoh, setiap
telefon pintar pada masa sekarang telah dilengkapi dengan kamera untuk
mengambil gambar dan video. Pengguna media sosial kemudiannya boleh menyunting,
menambah, mengubahsuai sebarang tulisan, gambar, video, grafik, dan pelbagai
model kandungan lain mengikut kehendak mereka.
Selain
itu, telefon bimbit ini juga dilengkapi dengan Microsoft Word dan Excel sesuai
untuk golongan pekerja yang memerlukan akses kepada maklumat yang dikehendaki.
Perkembangan media sosial membangun dengan pesat kerana untuk memenuhi kehendak
semua orang seperti memiliki bahan media sendiri. Jika untuk memiliki media
tradisional seperti televisyen, radio, atau akhbar memerlukan modal yang besar
dan akses kepada sumber maklumat yang terbatas, media massa pula sebaliknya
dimana seseorang pengguna media sosial masih boleh mengakses dan menggunakan
media sosial dengan rangkaian internet walaupun kadang-kadang tidak dinafikan
akan menghadapi masalah dengan akses internet yang lambat atau menghadapi
liputan talian yang tidak memuaskan, tanpa bayaran besar, tanpa peralatan mahal
dan ianya boleh dilakukan sendiri tanpa tenaga pekerja selagi mereka mempunyai
inisiatif untuk mempelbagaikan penggunaan media massa untuk kebaikan sejagat.
Sebagai contoh, blogger hendaklah selalu rajin melakukan penyelidikan sebelum
memuat turun ke dalam blog supaya berita yang disampaikan itu sahih. Usahawan
juga boleh mempelajari cara-cara untuk menjadikan laman webnya kreatif untuk
menarik minat dan perhatian daripada pelanggannya.
Begitu
pantasnya seseorang boleh mengakses media sosial mengakibatkan terjadinya
fenomena besar terhadap arus maklumat yang bukan sahaja hanya terdapat di
negara-negara maju, bahkan juga berlaku di Malaysia. Kerana penggunaannya yang
pesat, media sosial sudah mula tampak menggantikan peranan media massa bercetak
dalam menyebarkan berita-berita. Usahawan juga tidak ketinggalan dalam
menggunakan media sosial sebagai satu platform penggerak perniagaan di seluruh
negara dan pelosok dunia. Malaysia yang juga sebagai sebuah negara yang amat
menekankan perniagaan digital mengalakkan usahawan untuk menggunakan kaedah
media sosial sebagai pemangkin perniagaan. Menurut tinjauan
socialmediaexaminer.com, ramai usahawan bersetuju bahawa media sosial telah
memainkan peranan yang amat penting dalam memasarkan produk mereka kepada para
pelanggan yang dikenali mahupun yang tidak dikenali.
Alexa
(2012) mencatat lima media sosial teratas di dunia iaitu Facebook, diikuti oleh
Twitter, Linkedln, Google+ dan Pinterest[5]. Facebook yang pada awalnya
diasaskan oleh Mark Zuckerberg sebagai medium untuk berkomunikasi dan berkongsi
maklumat bagi mahasiswa Harvard sahaja kini menjadi media sosial paling
fenomena di dunia. Pada Jun 2011 Facebook melaporkan telah pun mencapai 750
juta pengguna. Manakala Twitter yang diasaskan oleh Jack Dorsey pada tahun 2006
melaporkan telahpun mempunyai 200 juta pengguna aktif pada tahun 2011.
Apabila
Internet dan teknologi telefon bimbit menjadi semakin maju maka media sosial
berkembang pesat juga. Kini, untuk mengakses Facebook, YouTube ataupun Twitter
boleh dilakukan di mana sahaja dan pada bila-bila masa hanya dengan menggunakan
telefon bimbit (Luik 2010)[6]. Kemampuan untuk mengakses media sosial melalui
aplikasi mudah alih (mobile web) merupakan faktor pendorong dalam kejayaan
media sosial. Hal ini kerana ia memiliki kualiti capaian maklumat yang maksimum
walaupun diakses melalui telefon pintar sehingga telefon bimbit biasa.
Perkembangan media sosial yang semakin pesat dengan ragam aplikasi seperti
mengirim mesej, muat naik ataupun muat turun gambar, permainan, chat, muzik,
tayangan video menyebabkan penggunanya sentiasa menghabiskan masa di hadapan
skrin gadget miliknya.
Sebahagian
besar pengguna media sosial di dunia ialah golongan generasi muda yang
dilahirkan pada tahun akhir 80-an atau awal 90-an. Nielsen (2011) melaporkan
bahawa pengguna didominasi oleh wanita dan berusia 18-34 tahun adalah yang
paling aktif dalam media sosia[7]. Mereka menggunakan dengan pesat media baru
dan teknologi terkini. Mereka berminat dan lebih tertarik dengan segala sesuatu
yang berkaitan dengan Internet dan aplikasinya. Mereka sangat aktif dan
cenderung untuk melibatkan diri dengan laman rangkaian sosial seperti Facebook,
Twitter, Google+ ataupun YouTube. Bagaimanapun, perkembangan media sosial tidak
dapat terlepas daripada perkembangan Internet itu sendiri. Internet dan media
sosial erat kaitannya. Hal ini kerana untuk mengakses media sosial tentunya
memerlukan capaian Internet.
3.0 Kepentingan Media Sosial Dalam
Perniagaan
(i)
Kerja
pencarian maklumat dan data semakin mudah dan terkini
Seperti
yang kita sedia maklum, setiap usahawan sentiasa inginkan kejayaan dalam setiap
bidang yang diceburi. Namun tidak dapat dinafikan, ada juga dikalangan mereka
yang gagal mencapai matlamat yang disasarkan. Untuk menjadi seorang usahawan
yang berjaya, seseorang itu perlulah mempunyai ilmu pengetahuan dan kemahiran
yang tinggi dalam bidang yang diceburi dan bukannya hanya sembarangan sahaja
melakukan sebarang aktiviti perniagaan tanpa memikirkan segala risiko yang akan
dihadapi. Ilmu pengetahuan tersebut diperolehi samada daripada pengalaman
sendiri, ilmu yang dipelajari, pembacaan ataupun daripada pemerhatian daripada
pengalaman orang lain. Dengan ini mereka sentiasa mencari dan peka dengan
maklumat terkini daripada media sosial. Dengan penggunaan media sosial, kerja
pencarian maklumat dan data semakin mudah dan terkini. Pada masa kini, kita
dapat lihat pelbagai laman web telah dicipta untuk memberi penerangan tentang
sesuatu perniagaan, apa yang perlu dilakukan dan larangan dalam menjalankan
perniagaan. Usahawan juga boleh berkongsi pengalaman mereka bersama dengan
usahawan lain dan ini dapat memberi gambaran dan teladan usahawan lain yang
ingin menceburi bidang yang sama dan pada masa yang sama dapat memberi dorongan
dan semangat kepada mereka untuk melakukan perniagaan tersebut. Malahan dalam
Facebook juga kita dapat melihat usahawan yang berjaya seperti Dr. Azizan Osman
yang pada mulanya seorang ahli perniagaan yang kecundang dalam bisnes yang
dijalani sehingga menyebabkan beliau kerugian wang berjuta-juta. Namun beliau
tidak pernah putus asa dan bangkit semula dan berkongsi pengalamannya kepada
usahawan yang lain tidak kira yang sudah lama atau baru berkecimpung dalam
perniagaan. Dari sini kita dapat melihat peranan media sosial dalam
membangkitkan semangat usahawan lain untuk berjaya dalam perniagaan yang
diceburi.
(ii)
Untuk
memperbaiki dan mempertingkatkan pencapaian prestasi usahawan dan syarikat
Dengan
maklumat yang diperolehi, usahawan juga dapat menggunakannya untuk memperbaiki
dan mempertingkatkan lagi pencapaian prestasi usahawan itu sendiri dan syarikat
mereka. Usahawan juga dapat bertukar-tukar pendapat, maklumat, dan produk
sesama usahawan atau pihak lain yang berkepentingan. Selain itu, usahawan juga
boleh menghubungi sesiapa sahaja seperti kenalan, pembekal, pengedar, pelanggan
dan lain-lain untuk bertanya atau mendapatkan maklumat mengenai perniagaan,
peluang-peluang perniagaan dan sebagainya. Sebagai contoh penggunaan Internet
Explorer dan Google untuk menghantar e-mail dengan pantas, jimat dan boleh
dilakukan dimana sahaja selagi terdapat akses internet. Penggunaan Skype yang
merupakan sebuah perisian komunikasi percuma yang membolehkan pengguna membuat
panggilan, menghantar mesej secara segera dan melakukan panggilan video dalam
talian walaupun mereka berada pada jarak beribu batu. Selain untuk panggilan,
Skype juga dapat digunakan untuk berbual (chatting), kirim SMS, persidangan,
pemindahan maklumat, panggilan suara hingga Call Forward.
(iii) Mempermudahkan urusan yang penting
Penggunaan
media sosial dalam perniagaan juga mempermudahkan lagi segala urusan yang
penting seperti untuk mendapatkan pelbagai maklumat daripada pelbagai
perniagaan, urusan perbankan yang melibatkan jumlah wang yang besar dan
pencarian pembekal yang boleh menawarkan produk atau perkhidmatan yang paling
rendah. Ada di sesetengah organisasi kerajaan dan swasta akan melambatkan lagi
sesuatu proses yang penting. Sebagai contoh, jika kita hendak membuat panggilan
untuk bertanyakan sebarang maklumat, kadang-kadang panggilan kita tidak dijawab
atau talian sibuk kerana banyak panggilan masuk. Sama juga seperti kita pergi
ke organisasi tersebut, ianya akan memerlukan perbelanjaan untuk minyak dan tol
selain membazir masa. Bagaimana pula jika organisasi atau pusat perniagaan itu
jauh dari tempat kita? Dengan penciptaan media sosial, segala maklumat akan
dimuat turun ke dalam laman web dan pelanggan atau pengguna dapat mengakses
maklumat tersebut dalam masa yang singkat. Begitu juga jika pembelian atau
penjualan dalam sesebuah perniagaan melibatkan kos yang tinggi, mereka hanya melakukan
transaksi bank dalam talian seperti CimbClicks, Maybank2U dan PayPal yang boleh
dilakukan pada bila-bila masa. Jika dahulu kita perlu beratur panjang untuk
membeli barang, sekarang dengan beberapa klik sahaja barang tersebut akan
sampai di tempat kita tanpa perlu kita beratur panjang, bersesak mencari
barang, mencari kawasan letak kereta dan kepenatan berjalan. Semuanya berada di
hujung jari kita. Ini akan menyebabkan perniagaan dan perkhidmatan usahawan
akan melonjak naik kerana penggunaan media sosial yang memudahkan segala urusan
perniagaan mereka.
(iv)
Untuk
mendapatkan maklum balas daripada pelanggan
Selain daripada itu, usahawan juga memerlukan
media sosial dalam perniagaan mereka untuk mendapatkan maklum balas daripada
pelanggan mereka. Dengan mencari maklum balas daripada pelanggan atau pengguna,
usahawan dapat mengetahui prestasi dan pencapaian usaha mereka dalam
mengendalikan perniagaan mereka. Setiap laman web mahupun Facebook dapat
dilihat pelbagai testimoni daripada pelanggan yang telah mengguna produk
usahawan mereka. Maklum balas dalam media sosial memainkan peranan penting
dalam sesebuah perniagaan memandangkan ianya dapat dibaca oleh pembaca lain
maka maklum balas yang positif akan menarik lebih ramai pelanggan baru manakala
maklum balas yang negatif pula menyebabkan kehilangan pelanggan yang sedia ada.
Maklumat yang diperolehi daripada maklum balas ini akan digunakan untuk
memperbaiki dan mempertingkatkan prestasi mereka sendiri sebagai seorang
usahawan dan perniagaan mereka. Dengan ini, usahawan yang berjaya diibaratkan
sebagai pendengar yang baik kerana mengambil tindakan pantas daripada maklum
balas pelanggan mereka. Dengan maklum balas ini juga, usahawan dapat belajar
dari kegagalan dan kesilapan mereka. Tanpa pelanggan, usahawan itu tidak akan
berjaya mencapai matlamatnya dalam mengembangkan perniagaannya dalam setiap
bidang yang diceburi.
4.0 Penggunaan Media Sosial dalam
Perniagaan Secara Global
Penggunaan
media sosial dalam perniagaan secara global telah mendatangkan hasil jualan
yang lebih memberansangkan dan menguntungkan kepada usahawan sekaligus dapat
mempengaruhi kemajuan dan pembangunan sesebuah negara. Sesungguhnya tidak
dinafikan media sosial tanpa dunia internet tidak boleh disama-bandingkan
dengan dunia “offline” iaitu dunia yang tanpa Internet. Apabila tiadanya
Internet, maka para usahawan akan menghadapi masalah untuk mengakses media
sosial memandangkan penggunaan media sosial yang memerlukan talian Internet.
Namun perkara sebaliknya akan berlaku ketika kita memasuki atau mengakses
Internet di mana kita telah berjaya memasuki sebuah pasaran global tanpa
sempadan. Sebagai contoh, penciptaan laman web yang dilakukan dalam bahasa
Melayu tidak semestinya hanya dapat dilayari di dalam Malaysia sahaja.
Sesetengah pihak juga mendakwa bahawa terdapatnya halangan dari segi budaya,
bahasa dan kepercayaan kepada pengglobalan menyebabkan perniagaan ini lebih
dominan bagi syarikat berskala kecil dalam rangkaian perdagangan setempat
sahaja. Namun dengan adanya Internet, laman web ini dapat dilayari di merata
dunia kerana sesebuah laman web bukanlah hanya untuk sebuah negara sahaja. Jadi
adalah tidak mustahil jika perniagaan melalui media sosial dapat sambutan dan
perhatian yang mengalakkan dari pelanggan dari serata dunia. Sesungguhnya
penggunaan media sosial mempermudahkan segala usahawan untuk melakukan,
memperkenalkan dan mempergiatkan aktiviti perniagaan atau perkhidmatan ke
seluruh negara dan dunia.
Perniagaan menggunakan media sosial telah
membuka peluang yang lebih luas kepada para usahawan untuk memperkenalkan dan
mempromosikan produk atau perkhidmatan secara meluas samada di dalam atau luar
negara. Pemasaran menggunakan media sosial merupakan salah satu teknik yang
sangat membantu untuk usahawan-usahawan yang ingin memasarkan produk mereka
dengan lebih meluas lagi. Dengan menggunakan media sosial sebagai aktiviti
pemasaran, usahawan boleh mendapat pelanggan baru yang berpotensi dengan lebih
mudah dan mereka juga akan dapat meningkatkan jualan kerana lebih ramai lagi
orang akan tahu mengenai produk mereka. Bukan untuk pasaran tempatan sahaja,
malah pasaran antarabangsa juga boleh didapati dengan adanya media sosial ini.
Dengan kebolehan media sosial yang boleh diakses di mana sahaja tanpa batasan
waktu dan tempat menyebabkan hampir semua industri dengan berbagai jenama besar
telah menggunakan media sosial sebagai pemasaran mereka. Ini adalah kerana
mereka sedar bahawa media sosial adalah antara cara pemasaran yang terbaik pada
zaman ini. Sebagai contoh, usahawan akan mempromosikan produk dan perkhidmatan
mereka melalui aplikasi Instagram di mana pengguna atau pelanggan hanya
menggunakan “hashtag” produk yang mereka yang kehendaki dan dalam masa satu
saat pelbagai pilihan akan keluar dan pelanggan boleh mencari dan memilih
produk yang dikehendaki.
Dalam
era globalisasi dan perniagaan tanpa sempadan, seseorang usahawan memerlukan
pemikiran kontemporari. Ini kerana dengan teknologi yang cangggih, pengguna
kini boleh memilih produk, idea dan perkhidmatan dari seluruh dunia. Dengan
adanya media sosial, pengguna kini dapat mencari maklumat tentang produk dan
perkhidmatan yang ditawarkan di seluruh dunia dan dapat membuat pemilihan
berdasarkan kepada jenis dan kualiti produk, harga yang lebih berpatutan, tahap
servis penjual dan lain-lain aspek. Sebelum kewujudan media sosial, aktiviti
perniagaan hanya mampu dijalankan oleh usahawan yang mempunyai perniagaan besar
yang berkemampuan dari segi kewangan dan kepakaran namun dengan terciptanya
media sosial, usahawan yang mempunyai perniagaan kecil juga mampu mempromosikan
dan mengiklankan produk serta perkhidmatan mereka ke seluruh pelosok dunia
seperti melalui Facebook, Twitter, Instagram dan blog.
5.0 Tahap Penggunaan Media Sosial dalam
Perniagaan di Malysia
Kerancakan
penggunaan media sosial bukan sahaja berlaku di negara-negara luar malahan juga
berlaku di dalam Malaysia. Sektor kerajaan dan sektor swasta sentiasa
bermatlamat untuk mempertingkatkan kadar akses media sosial dengan meningkatkan
kadar pemilikan talian internet, pemilikan komputer peribadi dan sebagainya.
Kemudahan ini secara tidak langsung akan membantu golongan usahawan untuk
melibatkan diri dengan aktif dan mengembangkan perniagaan mereka. Kementerian
Tenaga, Komunikasi dan Multimedia merupakan di antara jabatan kerajaan yang merancang
pelbagai program dan latihan untuk menarik lebih ramai usahawan tempatan untuk
menceburi perniagaan. Penubuhan Koridor Raya Multimedia (MSC) yang juga
dikenali sebagai "MSC" di Malaysia bertujuan untuk menjadikan
Malaysia sebagai sebuah negara yang maju menjelang tahun 2020 dimana pengaliran
maklumat terkini dari seluruh kawasan tanpa batasan dan menjadi teras utama
kepada syarikat multinasional untuk mengeluarkan produk multimedia dan
komunikasi serta penyelidikan yang berkaitan dengan ICT dan seterusnya
menjadikan Malaysia sebuah negara yang kaya dengan maklumat dan mempunyai
pengetahuan yang intensif. Ini akan menarik minat lebih banyak
syarikat-syarikat pelabur asing untuk datang melabur di Malaysia. Ianya secara
tidak langsung akan memberi peluang perniagaan kepada usahawan di Malaysia.
6.0 Cabaran / Halangan Penggunaan Media
Sosial Di Malaysia
Ø Kesahihan maklumat
Namun
masih terdapat cabaran dan halangan penggunaan media sosial di Malaysia.
Antaranya ialah kesahihan sesuatu maklumat. Maklumat yang tepat dan sahih
adalah penting bagi menjamin tidak berlaku penyelewengan maklumat dan sekaligus
mengelakkan penganiayaan pelanggan. Pihak yang tidak bertanggungjawab akan
memberi maklumat palsu semata-mata untuk menarik perhatian pelanggan tetapi
maklumat yang diberi tidak sama seperti yang diuar-uarkan dalam media sosial.
Saban hari terdapat ramai pelanggan yang tertipu apabila mendapat produk tiruan
setelah membayar dengan harga yang tinggi atau mendapat barangan yang lain
seperti yang dilihat dalam media sosial. Ini menyebabkan ramai pelanggan berasa
was-was untuk membeli dan ini sekaligus akan memberi kesan kepada usahawan yang
menjalankan perniagaan dengan jujur. Keadaan ini umpama kerana nila setitik,
rosak susu sebelanga.
Ø Kes-kes penipuan berbentuk kewangan
Selain
daripada kesahihah maklumat, kita juga seringkali membaca dan mendengar kes-kes
penipuan berbentuk kewangan. Penipuan ini telah semakin merebak dan semakin
ramai yang menjadi mangsa penipuan. Pada masa sekarang, kita jarang mendapat
perkhidmatan “cash delivery” yang menuntut pembayaran apabila barang sampai ke
destinasi kita. Kebanyakkan perniagaan yang dilakukan sekarang melakukan
transaksi pemindahan wang secara talian dan apabila mereka mendapat barangan
yang tidak berkualiti adalah sukar bagi mereka untuk menuntut ganti rugi atau
mengambil balik wang mereka. Malahan ada di kalangan mereka yang melarikan diri
apabila mendapat wang dan meninggalkan pelanggan terkapai-kapai tanpa sebarang
jawapan. Sekurang-kurangnya jika pelanggan datang sendiri ke premis perniagaan
dan memilih sendiri barangan yang berkualiti dan memuaskan, kes-kes penipuan
ini dapat dielakkan.
Ø Masalah Keselamatan
Masalah keselamatan juga menjadi isu dalam
penggunaan media sosial. Ini kerana orang lain dapat mengakses masuk ke dalam
data kita tanpa kebenaran kita. Kita seringkali mendengar Facebook dipecah
masuk oleh penggodam yang tidak berpuas hati atau yang mempunyai niat yang
tidak baik. Usahawan seharusnya sentiasa dalam keadaan peka dengan maklumat
syarikatnya lebih-lebih lagi jika menggunakan media sosial sebagai pemasaran
produk dan perkhidmatan mereka. Serangan mungkin akan berlaku akibat suka-suka
ataupun sabotaj daripada pesaing mereka. Malahan gosip dan fitnah juga akan
tersebar tanpa kawalan dan sekaligus akan memberi imej buruk kepada usahawan
dan perniagaan. Sekarang dengan jari sahaja, pelbagai anasir buruk dan kritikan
yang mampu menjatuhkan kredibiliti sesorang usahawan akan disebarkan dalam
media sosial. Kerana kecanggihan media sosial yang boleh diakses pada bila-bila
masa, maklumat salah akan disebarkan dan tersebar dalam tempoh yang singkat dan
adalah sukar untuk mengawalnya jika sudah tersebar.
Ø Gaya Pengiklanan
Kita
juga berfikir bahawa proses perniagaan adalah mudah untuk dilakukan melalui
media sosial adalah mudah dimana mereka hanya meninggalkan pautan atau “link”
untuk mempromosikan produk atau perkhidmatan mereka. Namun mereka bukan sahaja
akan digelar spammer malah akan kehilangan pengikut mereka. Sesetengah usahawan
dan ahli perniagaan juga akan dinasihatkan oleh pakar IT untuk mendapatkan alat
pengurusan media sosial yang melibatkan kos yang tinggi tetapi gagal untuk
menggunakannya untuk mendapatkan hasil keuntungan yang memberansangkan ke atas
pelaburan mereka. Usahawan juga perlu mengupah sekumpulan pekerja yang mahir
dalam proses penggunaan media sosial. Ini akan menyebabkan perbelanjaan yang
tinggi. Malahan usahawan juga akan membelanjakan keuntungan untuk mendapatkan
lebih banyak sambutan daripada pelanggan. 90% kejayaan perniagaan adalah adalah
bergantung kepada kepada gaya pengiklanan yang berkesan dan berterusan.
Ø Masa yang diluangkan
Para
usahawan juga tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk melayari media sosial.
Menurut Perniagaan Insider, Amerika menghabiskan sekurang-kurangnya 37 minit
pada media sosial setiap hari dan tempoh jangkamasa tersebut akan sentiasa
berubah mengikut bidang industri yang diceburi. Untuk perniagaan yang baru
berkembang, kekangan masa adalah antara cabaran yang akan dihadapi oleh
usahawan. Mereka akan menghabiskan masa di antara 8 sehingga 14 jam sehari di
media sosial untuk mempromosi dan memperkenalkan produk dan perkhidmatan mereka
lebih-lebih lagi bagi mereka yang baru menceburi bidang perniagan dalam media
sossal dan menguruskan pelbagai bidang platform.
Ø Keperluan untuk menganalisis strategi
setiap masa
Sesungguhnya untuk melakukan pemasaran yang
berkesan melalui media sosial memerlukan memerlukan penyediaan, pelan, dengan
jadual yang betul dan kandungan yang baik untuk dikongsikan bersama. Jika
seseorang usahawan itu tidak mempunyai pelan dan strategi yang berkesan untuk
memperkembangkan perniagaannya, dia akan mendapat pulangan atau hasil yang
kurang memuaskan. Seseorang usahawan juga perlu menganalisis strategi media
sosial mereka pada setiap bulan dan meminda dan mengubah suai strategi untuk
memenuhi permintaan pasaran terkini. Ini bukan tugas yang mudah apabila
perubahan teknologi yang berlaku sangat
pantas. Mereka juga harus mempertimbangkan waktu mereka membuat pengiklanan dan
promosi jika pelanggan mereka dari zon waktu yang berlainan. Untuk itu, setiap
usahawan perlu menghadiri seminar atau kursus usahawan internet yang sentiasa
dianjurkan oleh pakar-pakar internet.
7.0 Faktor-Faktor Pendorong Penggunaan
Media Sosial
Ø Meminimakan kos pengiklanan
Meminimakan
kos pengiklanan merupakan di antara faktor-faktor pendorong penggunaan media
sosial. Jika dulu syarikat-syarikat besar sahaja yang berkemampuan menggunakan
media sosial sebagai strategi pemasaran namun pada hari ini, iklan dan promosi
dari peniaga-peniaga kecil juga turut menghiasi laman media sosial sekarang.
Tidak dinafikan lagi bahawa mereka dapat mengurangkan kos pengiklanan mereka
jika dibandingkan dengan cara pemasaran lain selain media sosial. Banyak
perniagaan besar dan terkenal telah memanfaatkan media sosial sebagai media
publisiti untuk memperkenalkan produk mereka. Contohnya melalui penggunaan
Facebook kerana usahawan sedar akan pengguna Facebook yang sangat ramai dan ini
memudahkan lagi aktiviti pemasaran.
Ø Interaksi secara langsung dengan
pelanggan
Terdapat
juga perniagaan yang menggunakan media sosial yang menyediakan ruangan khidmat
pelanggan mereka. Interaksi dengan pelanggan adalah perkara yang penting dalam
apa jua perniagaan dan setiap maklumbalas daripada mereka akan meningkatkan
lagi kepercayaan pelanggan lain dengan produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.
Dengan cara ini, mereka boleh memberikan khidmat yang lebih cepat malah dapat
mengeratkan lagi hubungan dengan pembeli mereka yang sedia ada. Pelanggan akan
memberi maklum balas yang positif untuk perkhidmatan yang memuaskan dan begitu
juga sebaiknya. Seperti yang kita sedia maklum, maklum balas dalam media massa
memainkan peranan penting dalam sesebuah perniagaan memandangkan ianya dapat
dibaca oleh pembaca maka maklum balas yang positif akan menarik lebih ramai
pelanggan baru manakala maklum balas yang negatif pula sebaliknya. Maklumat
yang diperolehi daripada maklum balas ini akan digunakan untuk memperbaiki dan
mempertingkatkan prestasi mereka sendiri sebagai seorang usahawan dan
perniagaan mereka. Itulah sebabnya mengapa media sosial ini memainkan peranan
yang sangat penting dalam pemasaran masa kini.
Ø Tempat untuk meluaskan pemasaran
Media
Sosial juga menjadi tempat untuk meluaskan pemasaran yang efektif kerana
kemudahan internet itu sendiri yang kini manfaatnya boleh dinikmati oleh
berbagai kalangan masyarakat tanpa mengira peringkat umur. Sebagai contoh,
apabila kita membuka tapak jualan ataupun kedai, pelanggan akan tertarik kepada
orang ramai yang berkumpul di kawasan kita berniaga. Ini juga sama berlaku
kepada perniagaan di media sosial di mana pembaca akan tertarik kepada “page”
yang mendapat sambutan yang mengalakkan malah mereka akan terus memberi
perhatian sepenuhnya apabila terdapat pelanggan yang membeli produk yang sama
berulang-kali dari peniaga yang sama.
Ø Proses penyebaran informasi dan maklumat
menjadi lebih mudah
Dengan
kemudahan media sosial, proses penyebaran informasi dan maklumat menjadi lebih
mudah kerana pemilik media massa tersebut hanya perlu membuat artikel, tulisan,
gambar, video, atau apa jua bentuk informasi dan meletakkannya di media sosial
tertentu seperti forum online yang dapat mewujudkan medium komunikasi di antara
ahli forum yang lain.
8.0
Kesimpulan
Penggunaan
Media Sosial secara meluas dan berpengaruh telah membawa faedah tetapi ia juga
ada buruknya di Malaysia. Menurut Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA),
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri
Baharuddin berkata walaupun ia telah menjadi alat yang berkesan untuk berkongsi
maklumat, media sosial juga telah
disalahgunakan untuk menyebarkan fitnah dan maklumat salah. Pembangunan media
sosial sejak kebelakangan ini telah memberi kesan kurang sihat terhadap
perpaduan negara. Dengan perkembangan dan kemajuan media sosial di Malaysia,
kita perlu sedar bahawa keselamatan negara telah terbuka dengan pelbagai
ancaman, meningkatkan ketelusan (transparency) tentang pemerintah dan ia turut
membuka ruang kepada rakyat Malaysia bagi membincangkan isu-isu politik sama
ada penyokong kerajaan atau pembangkang.
Walaupun media sosial turut menjadi saluran alternatif maklumat dalam
mempromosikan nilai demokratik, ramai pengguna kurang berhati-hati apabila
melemparkan tuduhan[8]
.
Jika
kita perhatikan, kita dapat melihat melalui perkembangan media sosial di
Malaysia, kadar celik politik masih rendah kerana perbincangan di laman
sesawang itu hanya tertumpu pada hal-hal peribadi, fitnah antara satu pihak dan
pihak yang lain serta memanipulasi fakta yang betul. Kita juga dapat melihat
bahawa pelayar media sosial turut mempunyai pengetahuan sejarah yang minima
kerana kita jarang melihat perbincangan yang agak rasional di media sosial.
Namun demikian media sosial adalah wahana yang boleh membincangkan
bermacam-macam perkara melalui alam maya, dan ramai rakyat Malaysia tidak ketinggalan ketika negara menghampiri
status negara maju menjelang tahun 2020.
[1] Mohd Hamdan Adnan. 2011.
Youth usage of social media and its impact on social integration. Paper
presented at the “Workshop for Youth: Freedom of Expression and Information – A
Pragmatic & Creative Approach for Youth” organized by the Information
Department of Malaysia & UNESCO on November 29 to December 3, 2011 in Kuala
Lumpur.
[2] Hughes, A. 2009. Higher
education in a Web 2.0 world. JISC Report. Retrieved from
http://www.jisc.ac.uk/media/ documents/publications/heweb20rptv1.pdf [7
September 2012].
[3] Ali Salman & Samsudin A.
Rahim. 2012. New media and youth participation: towards nation building.
Retrieved from http://www.ukm.my/ [27 September 2012].
[4] PewInternet. 2009. The demographics
of online and offline political participation. Retrieved from http://pewInternet.org/Reports/2009/15--The-Internet-andCivic
Engagement/3--The-Demographics-of-Online-and-Offline-PoliticalParticipation/2--Online
Politics.aspx [27
September 2012]
[5] Alexa. 2012. Top sites. Retrieved
from http://www.alexa.com/ [2 September 2012]. Alshare, K.A., & Alkhateeb,
F.B. 2008. Predicting students usage of Internet in two emerging economies
using an extended technology acceptance model (TAM). Academy of Educational
Leadership Journal 12(2): 109-128.
[6] Luik, J. E. 2010. Media sosial
dan presentasi diri. Retrieved from http://repository.
petra.ac.id/15386/1/Media_Sosial_dan_Presentasi_Diri.pdf [13 September 2012].
[7] Nielsen. 2011. State of the
media: the social media report. Retrieved from http://blog.nielsen.com/nielsenwire/social/
[4 September 2012].
[8] Profesor Ulung Datuk Dr
Shamsul Amri Baharuddin. Wacana KITA yang bertajuk Peranan Media Sosial dalam
Hubungan Etnik: Cabaran dan Harapan di sini, 16 Jun 2015.
No comments:
Post a Comment