Popular Posts

Wednesday 16 December 2015

DASAR FISKAL

PENGENALAN
Dasar fiskal kerajaan bukan sahaja membantu memungut sumber tetapi dapat digunakan bagi tujuan meningkatkan taraf hidup di kalangan golongan miskin. Kerajaan juga membelanjakan hasil kerajaan dalam bentuk projek-projek yang boleh meningkatkan kualiti hidup dan keupayaan menambahkan pendapatan rakyat terutamanya golongan miskin. Barang dan perkhidmatan yang membawa implikasi sosial yang besar sewajarnya disediakan oleh kerajaan supaya membolehkan semua pihak mendapat faedah. Rakyat diberi peluang mendapatkannya secara percuma atau pada kadar bayaran yang rendah. Tanpa pembiayaan ini mungkin menyebabkan golongan miskin tidak mampu menikmati taraf hidup yang lebih baik kerana pihak swasta akan mengenakan bayaran yang tinggi bagi menjual barangan berkenaan.
Salah satu cara yang dapat digunakan oleh kerajaan untuk mengatasi masalah lompang inflasi dan deflasi ialah melalui dasar fiskal. Dasar fiskal ini boleh digunakan melalui tiga cara iaitu : -
a) Mengubah cukai
Perubahan cukai dapat dilakukan ke atas cukai-cukai yang dikutip daripada individu atau firma. Untuk menghadapi pengangguran, kerajaan akan mengurangkan cukai. Cukai yang lebih rendah akan menyebabkan pendapatan boleh guna rumahtangga bertambah dan dapat meningkatkan penggunaan. Ia juga menyebabkan keuntungan selepas cukai bertambah dan lebih banyak wang dapat digunakan untuk membuat pelaburan.
b) Mengubah perbelanjaan kerajaan
Dalam masa inflasi, kerajaan perlu mengurangkan perbelanjaannya bagi menurunkan perbelanjaan agregat dan mengurangkan kadar inflasi. Pada masa berlakunya kadar pengangguran yang tinggi, kerajaan akan bertindak menambahkan perbelanjaan agregat supaya dapat menggalakkan perkembangan aktiviti ekonomi. Walau bagaimanapun, kebanyakan negara selalunya membuat pertimbangan yang teliti sebelum melaksanakan dasar ini disebabkan beberapa kesan buruk yang mungkin timbul. Hal ini berlaku kerana kerajaan terpaksa meminjam dan menambahkan hutang negara untuk membiayai peningkatan dalam perbelanjaan sedangkan pinjaman secara berterusan dan dalam jumlah yang banyak akan menyebabkan berlakunya inflasi pula. Keadaan akan menjadi lebih buruk jika kerajaan perlu meminjam daripada sumber luar negeri kerana jumlah matawang asing yang banyak perlu disediakan untuk membayar pinjaman dan faedahnya.


c) Mengubah cukai dan perbelanjaan kerajaan secara serentak
Teknik ini boleh dilakukan melalui dua cara iaitu dengan mengubah cukai dan perbelanjaan kerajaan ke arah yang bertentangan, iaitu apabila cukai dinaikkan maka perbelanjaan kerajaan dikurangkan dan sebaliknya. Ataupun, cukai dan perbelanjaan kerajaan berubah ke arah bersamaan. Tujuan teknik kedua ialah untuk mencapai belanjawan berimbang.
Kedudukan kewangan Malaysia dalam tahun-tahun akan datang bergantung kepada usaha untuk meningkatkan hasil cukai, meningkatkan produktiviti perbelanjaan awam, meningkatkan tabungan, dan memperbaiki kecekapan perusahaan-perusahaan awam. Langkah-langkah ini akan dapat mengurangkan jurang fiskal yang wujud dan mengecilkan saiz hutang awam. Salah satu cara yang perlu dilakukan untuk meningkatkan keupayaan cukai ialah mengubah suai perbelanjaan awam. Selain daripada meningkatkan hasil cukai, langkah-langkah untuk memperbaiki imbangan belanjawan melibatkan usaha-usaha untuk mengurangkan perbelanjaan yang membazir atau meningkatkan produktiviti sektor awam. Ini tidak bermaksud perbelanjaan awam perlu dikurangkan bagi semua aktiviti sektor awam kerana langkah seperti ini akan menjejaskan keupayaan produktif sektor-sektor berkenaan dan juga mengurangkan kebajikan awam. Pengurangan perbelanjaan sepatutnya ditujukan kepada perbelanjaan yang memberikan faedah yang kecil kepada masyarakat atau yang melibatkan kos yang terlalu tinggi. Untuk menentukan aktiviti mana yang perlu diteruskan dan yang mana perlu dikecilkan, kajian yang menyeluruh secara tahunan bagi semua aktiviti sektor awam perlu dilakukan.

ISU : Masalah Akauntabiliti dan Integriti Dalam Pengurusan Kewangan

Akauntabiliti merujuk kepada kewajipan penjawat awam dalam menjalankan tugas yang dipertanggungjawabkan mengikut undang-undang, prosedur dan arahan yang berkuat kuasa yang ditetapkan. Akauntabiliti penting bagi memastikan tugas-tugas yang dilaksanakan mencapai objektif yang telah ditetapkan dan tiada pembaziran yang menjejaskan sumber-sumber awam. Integriti pula dikaitkan dengan nilai-nilai murni seperti jujur, amanah, telus, tulus, adil dan saksama, berkecuali dan kebolehpercayaan. Penjawat awam yang mempunyai dan mengamalkan prinsip ini tidak bersikap mementingkan diri sendiri sebaliknya lebih mengutamakan kepentingan orang ramai.

Prinsip akauntabiliti dan integriti penting dan perlu dihayati dan dijadikan amalan oleh setiap penjawat awam. Sekiranya prinsip-prinsip ini tidak dititikberatkan dalam pengurusan kewangan, maka penyelewengan, salah laku, penipuan, rasuah dan penyalahgunaan kuasa akan mudah berlaku. Prinsip akauntabiliti dan integriti memainkan peranan utama dan menyumbang ke arah kualiti dan imej sesuatu agensi Kerajaan.
Perolehan Kerajaan merujuk kepada proses mendapatkan input-input yang diperlukan oleh sesebuah organisasi dengan cekap pada kos yang paling menguntungkan (value for money) dan memenuhi keperluan pelanggan. Ia hendaklah dilaksanakan secara terbuka, adil dan saksama kepada semua pembekal dan kontraktor yang berkelayakan dan diuruskan dengan cekap dan teratur tertakluk kepada undang-undang, prosedur dan arahan yang berkuat kuasa seperti Akta Prosedur Kewangan 1957, Arahan Perbendaharaan, Pekeliling dan Surat Pekeliling Perbendaharaan. Ia bertujuan untuk memastikan perolehan yang dibuat adalah paling menguntungkan dan memenuhi matlamat value for money bagi setiap ringgit yang dibelanjakan.
Secara keseluruhannya, akauntabiliti dan integriti dalam pengurusan kewangan menjamin bahawa wang awam dapat diuruskan dengan cekap. Tanpa kedua-dua prinsip ini dalam diri penjawat awam, maka akan terjadilah pembaziran penggunaan sumber manusia, kewangan dan masa, kelewatan dalam menyiapkan sesuatu projek, mengurangkan keyakinan orang awam terhadap pengurusan kewangan Kerajaan khususnya dan perkhidmatan awam amnya dan seterusnya membuka peluang untuk berlakunya penyelewengan, rasuah, salah laku dan salah guna kuasa.
Terdapat berbagai isu yang menggugat integriti perkhidmatan awam Malaysia. Yang paling kerap dibincangkan ialah rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan. Kita sedia maklum, Kerajaan berpendirian zero tolerance terhadap rasuah, serta mengambil langkah-langkah tegas bagi menanganinya. Namun begitu, berdasarkan rekod Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), secara amnya statistik aduan mengenai rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan menunjukkan peningkatan sejak enam tahun kebelakangan ini. Tohmahan atau maklumat paling banyak diterima adalah terhadap kakitangan awam, berbanding kumpulan yang lain, seperti orang awam, ahli politik atau anggota pentadbiran, dan pekerja swasta. Selain itu, statistik mengenai tangkapan berkaitan rasuah oleh SPRM menunjukkan bahawa lebih ramai kakitangan awam ditangkap berbanding sektor swasta dan orang awam. Ini adalah isu integriti yang menjejaskan imej perkhidmatan awam khasnya, dan Kerajaan amnya. 
Isu integriti juga telah dibangkitkan di dalam laporan Ketua Audit Negara. Teguran yang lazim disebut ialah mengenai kelemahan dalam pengurusan kewangan, pengurusan hasil, perancangan dan pemantauan, serta mengawal perbelanjaan. Ini mengakibatkan kerugian dan krisis keyakinan terhadap Kerajaan, dan sekali gus mencemarkan imej perkhidmatan awam. Ketua Audit Negara juga menegur mengenai “..... recurring weaknesses in financial management reflect that the actions taken to overcome the various issues raised by the Auditor General were neither comprehensive nor implemented on a continuous basis.”[1]
MASALAH KAJIAN.
CPI merupakan indeks persepsi rasuah yang telah dikeluarkan oleh Transparency International (TI), sebuah badan bukan Kerajaan (NGO) yang berpangkalan di Berlin, Jerman sejak dari tahun 1995. Apabila CPI diperkenalkan pada tahun 1995, Malaysia berada di kedudukan ke-23 daripada 41 yang dikaji dengan skor mata 5.28.  Kedudukan negara dalam CPI mula menurun ke tangga ke-26 (1996), tangga ke-32 (1997) dan terus merosot ke kedudukan 56 dalam tempoh 15 tahun sejak CPI diperkenalkan.
Dari segi skor pula, skor terbaik yang pernah dicapai adalah dalam tahun 1996 iaitu skor 5.32 manakala skor yang paling rendah pula adalah pada tahun 2011 iaitu skor 4.3.  Walaupun Malaysia merosot dari segi kedudukannya, secara umumnya skor Malaysia masih berada di peringkat pertengahan.  Di samping itu bilangan negara yang dikaji perlu juga diambil kira di mana 178 negara terlibat dalam CPI 2010 berbanding 41 negara pada tahun 1995.  Kedudukan Malaysia dalam CPI, bilangan negara yang terlibat dan skor mata yang diperoleh dari tahun 1995 hingga 2011 adalah sebagaimana dalam Jadual 1 seperti di Lampiran[2].
CARTA PAI 1 : STATISTIK TANGKAPAN PENJAWAT AWAM YANG TERLIBAT DENGAN RASUAH BAGI TAHUN 2009 – 2011.
SUMBER :PORTAL RASMI SPRM Kemaskini Terakhir pada 01/11/2012
Pada tahun 2009 sebanyak 190 penjawat awam telah ditangkap kerana terlibat dengan rasuah, dan ia terus meningkat pada tahun 2010 dengan tangkapan seramai 293 orang dan juga turut meningkat pada tahun 2010 dengan 323 orang. Bagi 3 tahun terakir menunjukkan peningkatan yang ketara dalam tangkapan penjawat awam yang terlibat dengan rasuah. Manakala pada tahun 2012 sebanyak 383 penjawat awam telah ditangkap oleh SPRM kerana terlibat dengan rasuah atau salah guna kuasa adalah lebih tinggi daripada tangkapan orang awam seramai 254 orang seperti di Jadual 2 seperti di Lampiran[3].

Berdasarkan Carta Pai 1 dan Jadual 1 seperti di lampiran, saya dapat merumuskan bahawa dari tahun 2009 sehingga tahun 2012, berlaku peningkatan dalam jumlah tangkapan penjawat awam oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Trend ini begitu membimbangkan kerana penjawat awam merupakan nadi penggerak kerajaan dalam menguruskan wang awam dan menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat. Kes-kes tangkapan oleh SPRM ini melibatkan kegiatan rasuah, salah guna kuasa dan juga penyelewengan. Akibatnya kedudukan Negara kita dalam Indeks Persepsi Rasuah yang dikeluarkan oleh agensi antarabangsa menunjukkan kedudukan Malaysia dalam Corruption Perception Index dari tahun 2009 sehingga tahun 2012 tidak banyak yang berubah. Walau ada turun naik rangking tapi Malaysia masih di kalangan rangking 50-60 ke atas.

OBJEKTIF KAJIAN
Objektif Kajian adalah untuk mengenal pasti isu-isu yang melibatkan integrity dan akauntabaliti dalam pengurusan kewangan Negara sama ada ia diuruskan dengan cekap, ekonomi, berkesan serta dibelanjakan mengikut peraturan yang ditetapkan. Sebenarnya kerajaan memperuntukkan jutaan ringgit setiap tahun dalam perbelanjaan mengurus dan juga perbelanjaan pembangunan. Namun disebalik itu terdapat beberapa kelemahan dalam pengurusan kewangan Negara berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara di mana setiap tahun berlaku kes penyelewengan dan pemborosan wang rakyat. Rakyat pada hari ini semakin pintar dan mudah mendapatkan maklumat. Rakyat mahukan penjelasan bagi setiap ringgit yang dibelanjakan sama ada betul atau tidak. Ini kerana pentadbiran kewangan dan pengurusan yang tidak cekap boleh mengundang bahaya kepada ekonomi Negara kita. Selain mengenal pasti punca masalah, kajian ini mencadangkan langkah penyelesaian  kepada masalah tersebut. Walaubagaimanapun, faktor manusia adalah amat penting kerana manusia itu sendiri yang yang mentadbir dan menguruskan kewangan Negara.

SKOP KAJIAN
Dalam kajian ini ia menjuruskan isu integrity dalam pengurusan kewangan Negara dimana saya membangkitkan setiap isu yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara bagi tahun 2010 dan 2011 sahaja. Selain itu, kajian ini membincangkan jumlah tangkapan penjawat awam oleh SPRM dari tahun 2009 hingga 2012. Dalam skop kajian saya hanya bersumberkan laporan daripada  Jabatan Audit Negara dan statistik tangkapan daripada SPRM dimana bukti bagi kajian ini adalah dari sumber yang sahih, kompeten, releven, tepat dan boleh dipercayai.

ULASAN KARYA
Kajian 1 : Bedasarkan kajian mengenai Persepsi Pembekal Terhadap Sistem Perolehan Kerajaan (2010) yang dibuat oleh sekumpulan pelajar dari Universiti Tenaga Nasional (Uniten) Malaysia yang mengambil sampel terhadap pembekal di kawasan timur Malaysia mendapati bahawa persepsi pembekal terhadap sistem perolehan kerajaan Malaysia adalah memuaskan. Walau bagaimanapun, persepsi terhadap sistem perolehan kerajaan Malaysia untuk menjadi bebas daripada rasuah adalah agak rendah. Persepsi pembekal menggambarkan bahawa responden agak berpuas hati dengan keberkesanan sistem perolehan kerajaan Malaysia sekarang kecuali bagi peluang atau kemungkinan untuk rasuah berlaku dalam sistem[4].
Kebanyakan responden cukup yakin pada kemungkinan rasuah untuk hadir di Malaysia dalam sistem perolehan kerajaan adalah berdasarkan oleh Laporan tahunan Ketua Audit Negara yang terus menonjolkan isu-isu yang sama mengenai rasuah. Hakikat bahawa beberapa penambahbaikan dan pembaharuan perlu dilakukan dan diambil ke dalam pertimbangan adalah sangat dialu-alukan oleh responden dalam membasmi isu rasuah.
Untuk memahami pendapat responden mengenai kemungkinan rasuah berlaku dalam Malaysia sistem kerajaan, responden ditanya mengenai persepsi mereka bahawa Malaysia sistem perolehan kerajaan adalah bebas daripada rasuah. Ia menunjukkan bahawa, 90% daripada mereka dilihat bahawa mereka amat tidak bersetuju bahawa sistem itu adalah bebas daripada rasuah, 7% bersetuju dan baki 3% balas mereka tidak bersetuju ataupun tidak bersetuju dengan kenyataan itu. Di samping itu, 88% daripada responden dilihat bahawa sistem perolehan kerajaan Malaysia boleh menyumbang kepada rasuah dan baki 12% yang tidak bersetuju dan tidak bersetuju dengan kenyataan.
Selain itu, kajian juga mendapati bahawa 89% daripada responden percaya bahawa tadbir urus yang baik adalah penting dalam sistem perolehan kerajaan Malaysia. Ia jelas mendapati bahawa, persepsi pembekal mengenai system perolehan kerajaan Malaysia mungkin dipengaruhi oleh siri Laporan Ketua Audit Negara dari tahun 2006, 2007 dan 2008, yang menghasilkan laporan tahunan mengetengahkan masalah yang berulang-ulang mengenai kelemahan dan kelemahan dalam kewangan awam pengurusan dalam entiti sektor awam yang kebanyakan mereka melibatkan perolehan. Sebagai contoh, Laporan Ketua Audit 2006 melaporkan bahawa, pembelian pemandu skru yang dibuat oleh Kementerian Belia dan Sukan pada harga RM224 manakala barangan yang sama boleh dibeli pada RM32 di pasaran. Insiden lain adalah tentang pembelian kamera digital, pasu plastik, dan sofa pvc enam tempat duduk yang bernilai lebih daripada RM110, 222. Insiden-insiden ini telah mempengaruhi persepsi pembekal ke arah sistem perolehan kerajaan.
Kajian 2 : Berdasarkan kajian Persepsi Penjawat Awam Terhadap Pengetahuan Tahap Integriti dan Rasuah di Tiga Agensi Kerajaan Negeri Terengganu, Malaysia (2010) mendapati bahawa  bahawa majoriti penjawat awam melihat rasuah dalam politik adalah lebih teruk daripada rasuah dalam sektor awam. 94 responden tidak bersetuju bahawa persepsi pada tahap rasuah di Malaysia adalah rendah dan 99 responden tidak bersetuju bahawa tahap rasuah di Politik Malaysia adalah rendah dan 75 responden tidak bersetuju bahawa tahap rasuah dalam sektor awam adalah rendah masing-masing. Ini menunjukkan bahawa tahap yang dianggap oleh penjawat awam Terengganu kepada tiga pembolehubah adalah agak rendah. Ini juga menunjukkan bahawa mereka  berpendapat bahawa tahap rasuah di Malaysia pada umumnya agak tinggi[5].
Analisis mengenai persepsi penjawat awam terhadap integriti mendedahkan bahawa terdapat kumpulan yang tidak jelas dan tidak menentu mengenai makna integriti dalam sektor awam. Mereka dengan usia muda kurang berpengetahuan mengenai peraturan dan prosedur yang membawa kepada mereka yang berada di dalam keadaan yang tidak pasti tentang integriti. Dapatan juga menunjukkan bahawa penjawat awam percaya bahawa tahap rasuah di Malaysia adalah tinggi. Oleh itu boleh ditegaskan bahawa umur muda tidak begitu prihatin atau mengambil berat terhadap pengetahuan rasuah, integriti dan kualiti penyampaian perkhidmatan
Kajian 3 : Pelbagai kajian telah menunjukkan bahawa rasuah mencerminkan kemajuan dan pembangunan ekonomi sesebuah negara. Dalam erti kata lain, ekonomi kurang maju dan membangun adalah umumnya lebih korup daripada rakan-rakan Barat mereka yang maju. Tetapi ini tidak bermakna bahawa tidak ada rasuah dalam ekonomi maju. Rasuah adalah lebih meluas di negara-negara membangun kerana kerajaan mempunyai monopoli terhadap sumber-sumber tertentu yang diperlukan oleh warganegara swasta [6] dan terdapat ekonomi dan institusi perbezaan whch menjejaskan ketersediaan tindakan timbal balas pada bahagian orang yang sedang memeras oleh kerajaan pegawai [7]. Satu contoh baru-baru ini dalam menangani masalah ini adalah tindakan kerajaan dicadangkan untuk Badan Pencegah Rasuah (BPR) akan distruktur semula dan lebih bebas.

Pelbagai kajian akademik menggunakan sampel merentas desa telah menunjukkan bahawa tahap rasuah adalah positif yang dikaitkan dengan kadar pertumbuhan yang lebih rendah [8]. Rasuah melambatkan pelaburan dan pertumbuhan sebanyak sebagai pembolehubah ekonomi politik yang lain, contohnya, kebebasan politik, kebebasan sivil dan keganasan politik.
Dari segi pelaburan langsung asing (FDI), rasuah tidak kelihatan untuk menghalang dari segi mutlak walaupun model FDI adalah kompleks dan campur tangan oleh pembolehubah kuantitatif dan kualitatif banyak. Walaupun kesan rasuah tidak jelas dilihat dalam FDI, terdapat konsensus bahawa rasuah meningkatkan ketidakpastian dan menimbulkan kos. Rasuah dalam negara tuan rumah dan rumah mempunyai kesan negatif terhadap FDI [9].
Dalam era maklumat dan era Internet, ia menjadi lebih sukar untuk menyembunyikan amalan rasuah. Judulnya pada pembaharuan demi perhubungan awam tanpa bahan sebenar dan tindakan semua mengelirukan. Malah jika ia tidak mustahil untuk mengawal kebebasan maklumat dan mempolitikkan kepentingan ekonomi rasuah, hasil rasuah adalah amat ketara kepada rakyat. Kepentingan Rasuah juga dilihat dalam penindasan politik, sekatan kebebasan bersuara dan pelaporan yang ditapis atau berat sebelah media berita nasional. Tidak dinafikan, rasuah hadir hampir di mana-mana tetapi ia tidak berkuatkuasa dilayan ringan, sebagai pegawai rasuah dipolitikkan untuk kepentingan diri peribadi mereka. Ini bermakna bahawa tidak ada langkah anti-rasuah dan / atau pembaharuan yang berkaitan dengannya akan mencukupi tanpa kepimpinan yang kukuh dan berkesan[10].

KAEDAH KAJIAN

Dari segi kaedah kajian saya membuat analisis daripada Laporan Ketua Audit Negara. Ini kerana ia mengandungi data-data dan hasil pengauditan yang kompeten dan boleh dipercayai bagi mengukuhkan hujah saya bahawa pembaziran dan pemborosan wang rakyat sememangnya saban tahun wujud dan megakibatkan kerugian wang rakyat yang berjuta-juta ringgit. Saya hanya memfokuskan jumlah pembaziran daripada Laporan Ketua Audit Negara bagi tahun 2010 dan 2011 sahaja kerana saya takut tuan pensyarah akan terkejut dengan nilai atau jumlah materialiti mengenai pembaziran wang rakyat yang berlaku saban tahun. Selain itu saya juga mengambil data mengenai kes tangkapan penjawat awam yang terlibat dalam kes rasuah daripada SPRM. Jumlah tangkapan setiap tahun menunjukkan bahawa ada penjawat awam yang terlibat dalam kes salah laku kewangan dan ini mendatangkan kerugian kepada Negara.

HASIL KAJIAN

Berdasarkan kajian yang dilaksanakan oleh Institut Integriti Malaysia telah membangkitkan beberapa isu integrity dalam pentadbiran kewangan kerajaan iaitu pembaziran sumber-value for money, salah guna kuasa dan sumber, tunggakan hasil, penyelewengan, rekod kewangan tidak lengkap, Rekod Kewangan tidak lengkap, kawalan dalaman yang longgar dan penggunaan teknologi yang tidak terkini. Institut Integriti Malaysia juga telah mengenal pasti punca-punca masalah integriti dalam pentadbiran wang awam iaitu kurang patuh patuh kepada peraturan dan arahan, kurang pengetahuan dan kemahiran, penempatan tidak ikut kepakaran, tiada bimbingan dan tunjuk  ajar, tiada tindakan tatatertib dan surcaj dan undang-undang dan peraturan yang kabur[11].
Antara faktor-faktor yang menjadi punca kepada berlakunya rasuah ataupun yang membuka peluang kepada pegawai untuk melakukan rasuah. Seperti yang telah saya sebut tadi, gejala rasuah merupakan isu pokok yang sentiasa menggugat integriti. Oleh itu, sebaiknya kita memahami punca gejala ini. Menurut Professor John Hogarth (Law Faculty, Universtiy of Canada), rasuah berpunca dari sifat tamak (greed) dan kerana wujud peluang (opportunity). Peluang melakukan rasuah boleh wujud apabila berlaku kelemahan di dalam sistem kawalan dalaman.
Salah satu punca rasuah berlaku adalah akibat “kelemahan sistem”. Dalam keadaan di mana seseorang itu mempunyai kuasa monopoli akibat daripada kelemahan sistem, ini memberi kuasa budi bicara yang amat luas kepadanya untuk membuat keputusan. Sekiranya keputusan yang dibuat itu melibatkan kepentingan diri dan dia tidak perlu accountable atau bertanggungjawab ke atasnya, maka keadaan ini boleh membuka peluang kepadanya untuk menyalah guna kuasa atau terlibat dengan rasuah. 
Walaupun pengurusan perolehan Kerajaan dilengkapkan dengan undang-undang, prosedur dan arahan sebagai panduan pelaksanaan, namun ia sering dikatakan sebagai bidang pengurusan kewangan yang paling berisiko untuk berlakunya pembaziran, ketirisan, penyelewengan, salah guna kuasa, salah laku, dan rasuah.
Pembaziran boleh berlaku disebabkan pembelian secara berlebihan, barang-barang yang tidak berkualiti dan tidak mematuhi spesifikasi yang telah ditetapkan, membuat perolehan tanpa perancangan yang teratur dan dengan sengaja mewujudkan keperluan sesuatu bekalan, perkhidmatan atau kerja. Manakala ketirisan pula boleh berlaku disebabkan oleh percanggahan kepentingan, pilih kasih terhadap pembekal atau telah berpakat, tidak melaporkan kecacatan dan kekurangan, membocorkan maklumat jabatan, mengutamakan kepentingan sendiri berbanding kepentingan orang awam dan telah menerima komisen atau suapan.
Faktor utama mengapa terjadinya pembaziran dan ketirisan dalam menguruskan perolehan Kerajaan adalah kemanusiaan iaitu sikap penjawat awam yang tidak mempunyai dan tidak mengamalkan nilai-nilai murni seperti akauntabiliti, integriti, berkecuali, amanah, bersih, jujur, telus, tulus, adil dan saksama dalam melaksanakan tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan. Kes-kes pembaziran dan ketirisan sudah pastinya akan menggagalkan matlamat value for money dalam menguruskan perolehan Kerajaan.

Analisis Laporan Ketua Audit Negara 2010

Hasil dari penelitian prestasi terhadap pelaksanaan aktiviti di bawah 32 Kementerian/Jabatan Persekutuan dan pengurusan 7 syarikat Kerajaan, Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan bahawa dari segi pelaksanan aktiviti/projek yang dijalankan terdapat beberapa kelemahan yang berpunca daripada penyeliaan yang kurang rapi, ketiadaan pemantauan yang berkesan, kekurangan peruntukan kewangan dan kekurangan kakitangan serta kepakaran[12].
Analisa ini saya ulaskan kepada tuan pensyarah bukan bertujuan mengkritik mana-mana pihak, tetapi sekadar hebahan informasi umum kepada kita semua sebagai warganegara Malaysia tercinta ini.
i) 9 Kementerian & jabatan telah lebih belanja peruntukkan operasi dengan jumlah RM3.73 billion. Antara Kementerian tersebut adalah Kementerian Kesihatan, Kementerian Pelajaran Malaysia, Kementerian Kesihatan, Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan, Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani, Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
ii) Dek kerana kuda-kuda yang dibeli pada 2008 untuk tujuan menyertai pertandingan ekuestrian dan sukan lasak gagal memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh Persekutuan Ekuestrian Antarabangsa atau Federation Equestre Internationale, akhirnya Majlis Sukan Negara (MSN) membeli 23 ekor kuda berjumlah RM5.66 juta dan dibuat melalui rundingan terus tanpa kelulusan Kementerian Kewangan.
iii) Jabatan Taman Laut Malaysia sepatutnya memperoleh RM52,594.08 (denda) tapi hanya mampu mengutip RM23,792.56. Kalau ikut Laporan ketua Audit Negara 2010, Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) punya perbelanjaan boleh tahan juga “makannya”. Sebagai contoh :

- RM56,350 untuk hanya sepasang ‘binokular marin’ atau teropong visi malam ( harga pasaran RM1,940)
- RM56,350 untuk sepasang binocular visi malam jenama Bushnell (harga pasaran RM2,827).
- RM11,845 untuk komputer riba dan pencetak warna (harga pasaran RM3,428)

iv) Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah ditegur supaya membelanjakan peruntukkan sebanyak RM54 juta dengan cara yang betul. Antara barang yang patut boleh dapat harga murah tetapi dibeli pada harga yang tinggi adalah :
- Ketuhar berharga RM1,200 berbanding harga pasaran RM419
- Katil Boleh Lipat berharga RM500 berbanding harga pasaran RM100
- Dapur gas dua pembakar pada harga RM200 setiap satu, dan bukannya RM59.90
- Mesin gunting rambut yang dibekalkan pada harga RM250 setiap satu, dan bukannya RM79
- Pengisar pada RM140 dan bukannya sebanyak RM60

Analisis Laporan Ketua Audit Negara 2011
Laporan Ketua Audit Negara 1 : Kos Projek Kuarters Untuk Kakitangan Yang Berkahwin RM3.21 bilion Tetapi Tidak Memuaskan[13]
§  Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2011 menunjukkan di sini kontrak untuk membina kuarters untuk kakitangan yang berkahwin menelan kos sebanyak RM3.21 bilion namun hasil projek berkenaan dinyatakan tidak memuaskan.
§  Kos untuk 38 projek tersebut – melibatkan 9,455 unit kuarters dari jenis pangsapuri hingga banglo – pada asalnya dianggarkan menelan kos RM1.74 bilion namun meningkat 84 peratus kepada RM3.21 bilion.
§  Dalam banyak-banyak projek itu, hanya satu dijalankan dengan tender terbuka, yang selebihnya siapa dapat?
§  Sedangkan Laporan ketua Audit Negara 2011 ada mengatakan USL didapati “tidak berpengalaman” dan pegawai teknikal syarikat itu pula “kurang kompeten” untuk menyiapkan projek tersebut.

Laporan Ketua Audit Negara 2 : Indah Water Rugi Hampir RM1 bilion

§  Syarikat pembentungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) mengalami kerugian terkumpul secara berterusan sehingga akhir tahun 2010 berjumlah RM888.1 juta
§  Antara sebab kerugian adalah disebabkan kes kecurian di loji olahan kumbahan melibatkan anggaran kerugian berjumlah RM25.40 juta, air kumbahan tidak dirawat mengikut standard ditetapkan, kerosakan struktur loji serta pelanggaran standard efluen melibatkan fi lesen berjumlah RM1.554 bilion

Laporan Ketua Audit Negara 3 : Lain-lain

1.      Kementerian Pertahanan (Kementerian) telah menyediakan kemudahan Rumah Keluarga Anggota Tentera (RKAT) meliputi 4 perkhidmatan iaitu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Darat Malaysia (TD) dan Angkatan Bersama (Markas ATM) dengan melaksanakan 38 projek RKAT dengan kos asal RM1.740 bilion. Sehingga bulan Disember 2011, sebanyak 46,880 unit RKAT pelbagai kelas telah dibina untuk keempat-empat perkhidmatan tersebut. Laporan Ketua Audit Negara 2011 mengatakan kurang memuaskan.Antaranya disebabkan peningkatan kos projek RM174.43 juta (15.5%) kepada RM1.3 bilion berbanding kos kontrak asal berjumlah RM1.12 bilion. Kerugian minima RM 174.43 juta.
2.      Projek Jambatan Sultan Yahya Petra, Kelantan dianugerahkan kepada Konsortium I.S Resourcers Sdn. Bhd. – RIS Capital Sdn. Bhd. secara rundingan terus dalam tempoh 30 bulan iaitu dari 18 Jun 2007 hingga 17 Disember 2009 dengan kos asal RM143 juta. Bagaimanapun, projek ini telah diserah hak kepada Aneka Prestij Sdn. Bhd. pada bulan Mac 2010 untuk menyiapkan baki pembinaan yang gagal disiapkan setelah mendapat persetujuan daripada JKR. Sehingga 31 Disember 2011, kemajuan kerja di tapak adalah 76.5%. Nilai kontrak semasa dijangka akan meningkat kepada RM177.76 juta iaitu peningkatan sejumlah RM34.76 juta (24.3%) berbanding kontrak asal yang bernilai RM143 juta. Peningkatan nilai kontrak ini juga mengambil kira Arahan Perubahan Kerja berjumlah RM20.61 juta yang masih belum diluluskan. Nampaknya, sekali lagi duit rakyat tidak diurus dengan baik angkara Rundingan terus menjadi faktor utama kroni yang tidak berpengalaman dilantik meski terpaksa menggadai kualiti. Itulah punca kos meningkat, projek lewat dan sebagainya. Projek yang sepatutnya siap pada Disember 2009, namun hari ini Oktober 2012, rakyat Kelantan masih belum dapat menggunakan jambatan tersebut. Rugi RM 34.76 juta.

CADANGAN & PENUTUP

Penerapan prinsip akauntabiliti dan integriti dalam memastikan value for money dalam perolehan Kerajaan boleh dilaksanakan melalui beberapa
kaedah seperti berikut:

·         Jawatankuasa Pengurusan Kewangan dan Akaun di Agensi Kerajaan Persekutuan (JPKA) ditubuhkan bertujuan untuk mengawasi, memantau dan menyelia semua urusan kewangan agar berjalan lancar dan mematuhi semua pekeliling, prosedur dan peraturan yang telah ditetapkan. JPKA memberi penekanan dan pemantauan dalam isu-isu dan kelemahan pengurusan kewangan yang sering dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara seperti perbelanjaan yang melebihi peruntukan yang diluluskan, pengurusan pungutan dan tunggakan hasil yang dikutip tidak check and balance dan tidak dimasukkan ke dalam bank dalam tempoh yang ditetapkan, perolehan dibuat di luar peraturan kewangan serta berlakunya pembaziran dan ketirisan, kelewatan pembentangan penyata kewangan dan laporan tahunan Badan-badan Berkanun dan pengurusan aset dan stor.
·         Penubuhan PEMUDAH (Pemudah Cara Perniagaan) bertujuan untuk menguruskan isu birokrasi di antara perniagaan dengan Kerajaan. Ia dilihat sebagai salah satu usaha Kerajaan bagi memastikan perkhidmatan awam mencapai penanda aras antarabangsa yang berteraskan pelanggan, berinovasi dan proaktif dalam menyokong ekonomi yang berdaya saing. PEMUDAH diperkukuhkan dengan nilainilai seperti kesedaran untuk menjadi lebih pantas, kerjasama yang proaktif di antara sektor awam dan swasta, syarat dan peraturan yang berpatutan dan tiada rasuah. Penjawat awam dapat mengekalkan prinsip akauntabiliti dan integriti serta melaksanakan tugas dengan telus apabila karenah birokrasi dan peluang melakukan penyelewengan dapat dikurangkan.
·         Bagi menerapkan prinsip integriti kepada penjawat awam dan memastikan gerakan pemantapan integriti secara bersepadu pula, Kerajaan telah melancarkan Pelan Integriti Nasional (PIN) yang berperanan dalam memberikan bimbingan kepada keseluruhan sektor awam, sektor swasta, parti politik, pertubuhan bukan Kerajaan (NGO), agama, media, wanita, belia dan pelajar. PIN seharusnya dijadikan panduan dalam merealisasikan hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju menurut acuan sendiri dengan membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etikanya, dengan para warganya mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh, dan ditunjangi budi pekerti yang luhur (Cabaran ke-4 Wawasan 2020).
·         Usaha melahirkan penjawat awam yang berkualiti dan berintegriti ini sebenarnya memang giat dijalankan oleh Kerajaan. Antara langkah-langkah yang telah diambil oleh Kerajaan adalah melalui pelancaran program-program kesedaran yang memberi tumpuan kepada penghayatan konsep Bersih, Cekap dan Amanah, Dasar Pandang ke Timur, Penerapan Nilai-nilai Islam dalam Pentadbiran, Budaya Kerja Berkualiti, Kod Etika Kerja, Piagam Pelanggan dan ISO 9000, Penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mencegah rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan termasuklah dari aspek pengurusan kewangan, penubuhan Biro Pengaduan Awam sebagai salah satu mekanisme atau saluran penyampaian aduan dan maklumat oleh orang awam mengenai tindakan, salah laku, salah guna kuasa dan penyelewengan penjawat awam dalam melaksanakan tugas-tugas yang dipertanggungjawabkan dan pembentukan Unit Audit Dalam bagi memastikan pengurusan perbelanjaan, hasil dan aset Kerajaan dilaksanakan secara berhemah dan teratur.
·         Memperluaskan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) melalui pelaksanaan sistem-sistem pengurusan kewangan dan sistem pemantauan projek-projek Kerajaan. Ia bagi meningkatkan lagi ketelusan, kecekapan dan keberkesanan dalam melaksanakan perolehan Kerajaan. Antara sistem-sistem yang membantu ke arah peningkatan akauntabiliti dan integriti penjawat awam adalah seperti Sistem e-Perolehan, Sistem Perancangan dan Kawalan Belanjawan Elektronik (e-SPKB) dan Sistem Pemantauan Projek. Mekanisme pelaporan yang menyeluruh melalui sistem-sistem ini memudahkan pemantauan oleh setiap jabatan.
RUMUSAN/ KESIMPULAN
Tugas mengendalikan pengurusan kewangan dengan cekap dan berkesan adalah merupakan satu amanah besar bagi setiap pegawai Kerajaan. Pencapaian dan kejayaan organisasi diukur melalui pengurusan kewangan yang teratur dan berhemah. Ini hanya boleh dicapai sekiranya prinsip integriti dan akauntabiliti diamalkan dalam mengurus dana awam. Pengurusan kewangan yang lemah akan memberi ruang kepada isu negatif seperti penyelewengan, pemborosan dan pembaziran dan seterusnya meningkatkan hutang Negara yang ketika ini mencapai angka 500 billion ringgit. Tidak ada gunanya apabila setiap kali bajet dibentangkan oleh Perdana Menteri dengan pengagihan peruntukan tertentu tetapi cara agensi kerajaan berbelanja wang rakyat tidak betul dan menyalahi peraturan kewangan Negara.
Dalam ajaran agama islam sendiri menyeru kepada umatnya agar tidak membazir. Islam amat melarang umatnya melakukan pembaziran sehinggalah Allah menyifatkan orang-orang yang suka membazir itu sebagai saudara syaitan. Firman Allah yang bermaksud:
"Sesungguhnya orang-orang yang melakukan pembaziran-Mu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya." (Surah al-Isra':27)
Oleh itu, semua pegawai yang terlibat dalam pengurusan kewangan perlu merancang dan menilai tindakan yang dapat menyelesaikan masalah dan mengatasi kelemahan yang dikenal pasti. Slogan daripada Jabatan Audit Negara iaitu ‘membetulkan yang biasa dan membiasakan yang betul’ dalam pengurusan kewangan perlu dihayati dan dibudayakan. Pengurusan kewangan adalah sangat penting kerana sumber kewangan Negara terhad berbanding dengan keperluan pengurusan dan pembangunan yang semakin meningkat. Sehubungan dengan ini, program dan aktiviti Kementerian/Jabatan/Agensi Kerajaan perlu dilaksanakan secara ekonomi, cekap, berkesan dan telus serta pencapaiannya memenuhi objektif organisasi ke arah penyelesaian masalah atau memenuhi keperluan rakyat. Akhir kata dengarlah mutiara kata daripada saya sebagai renungan bersama :

“You lose your money, you lose NOTHING.
You lose your HEALTH
then you lose SOMETHING
But if you lose your integrity
You lose EVERYTHING
You lose it once you will lose it FOREVER”

BIBLIOGRAFI/RUJUKAN

[1] TAN SRI MOHD SIDEK BIN HAJI HASSAN, "ISU-ISU TADBIR URUS DAN INTEGRITI DALAM PERKHIDMATAN AWAM: DULU, KINI DAN MASA DEPAN", KOTA KINABALU, SABAH, 23-11-2006 (www.pmo.gov.my).

[2] Corruption Perception Index, CPI), 2012 Transparency International

[3] www.sprm.gov.my (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia).

[4] Wan Mohammad Taufik Bin Wan Abdullah,Mohmad Sakarnor Bin Deris, Noriza Binti Mohd Saad,Marziana Binti Haji Mohamad dan Mahlindayu Binti Tarmidi, JURNAL PERNIAGAAN DAN EKONOMI GLOBAL,Julai 2010. VOLUME 1. NUMBER 1)

[5] Iskandar Hasan Tan Abdullah, Asri Salleh, Rusnah Ismail, Nazlin Emieza Ngah, CANADIAN SOCIAL SCIENCE, Vol. 6, No. 3, 2010, pp. 199-204, Perception of Civil Servants on the Knowledge of Integrity and Corruption Level in Three State Agencies in Terengganu, Malaysia

[6] Alam, M.S. (1995) A theory of limits on corruption and some applications. Kyklos, 48, 419-435.

[7] Husted, B.W. (1999) Wealth, culture and corruption. Journal of International Business Studies, 30(2), 339-360.

[8] See e.g., Murphy, K. Shleifer & Vishney, R. (1991) The allocation of talent: implication for growth. Quarterly Journal of Economics, 105, 503-530. Knack, S. & Keefer, P. (1995) Institutions and economic performance: cross-country tests using alternative institutional measures. Economics and Politics, 3, 207-227.

[9] Habib, M. & Zurawicki, L. (2002) Corruption and foreign direct investment. Journal of International Business Studies, 33(2), 291-307.

[10] Dr. Teck Yong Eng ,senior lecturer at King's College, University of London, June 17, 2008 , Corruption and Economic Growth

[11] www.iim.gov.my Portal Rasmi Institut Integriti Malaysia, Persembahan Slaid “Integriti Dalam Pengurusan Kewangan” 2011.

[12] www.audit.gov.my ( Laporan Ketua Audit Negara 2010, Aktiviti Kementerian/Jabatan dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan).

[13] ] www.audit.gov.my ( Laporan Ketua Audit Negara 2011, Aktiviti Kementerian/Jabatan dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan).



























HUBUNGAN ETNIK DI MALAYSIA

PENGENALAN
Malaysia merupakan salah sebuah negara yang masyarakatnya terdiri daripada pelbagai keturunan, etnik, warna kulit, agama, bahasa kebudayaan dan adat resam yang tersendiri. Ia merupakan satu-satunya negara masyarakat plural yang paling berjaya di alaf baru ini dalam mengekalkan keamanan dan perpaduan. Masyarakat majmuk mempunyai konsepnya dan sejarah yang tersendiri di Malaysia. Malaysia pada hari ini didiami oleh pelbagai bangsa, kaum dan etnik dari Perlis hingga ke Sabah. Kepelbagaian kaum dan etnik inilah maka wujud pula kepelbagaian budaya, bahasa, agama dan adat resam. Corak masyarakat Malaysia seperti ini berlaku disebabkan oleh perubahan masa dan keadaan, seperti yang berlaku terhadap perubahan struktur politiknya. Sebelum abad ke-18 dan ke-19, masyarakat Malaysia tidak begini coraknya. Sebaliknya boleh dikatakan bahawa, semenanjung Tahan Melayu ketika itu didiami oleh orang Melayu dan Orang Asli bersama sebilangan kecil bangsa atau kaum lain. Tetapi kini coraknya telah berubah dan wujudlah pembentukan masayarakat majmuk.
J.S.Furnivall merupakan orang pertama yang mengemukakan konsep masyarakat majmuk berdasarkan kajiannya di Indonesia dan Burma. Menurut Furnivall (1967:54), masyarakat majmuk terdiri daripada pelbagai kaum yang mempunyai kebudayaan, agama, bahasa dan adat resam yang tersendiri. Walaupun pelbagai kaum berganding bahu di bawah sistem politik yang sama tetapi kehidupan mereka adalah berasingan dan interaksi sosial dalam kalangan mereka amat berkurangan dan hubungan mereka hanya terbatas kepada hal ekonomi dalam jual beli. Pembahagian tugasan dilakukan atas garis-garis ras.

Idea Furnivall mengenai masyarakat majmuk telah banyak dibincangkan oleh tokoh-tokoh sosiologi yang terkemudian. M.G. Smith merupakan salah seorang yang telah memberikan satu analisis yang panjang lebar mengenai konsep ini. M.G. Smith juga menganggap masyarakat majmuk sebagai masyarakat yang mempunyai pelbagai budaya, perpecahan sosial dan perselisihan. Dari segi politik pula, masyarakat majmuk dikuasai oleh satu kelompok minoriti yang mempunyai kebudayaan yang tersendiri. Smith juga berpendapat bahawa masyarakat wujud atas dasar konflik dan paksaan, bukannya atas dasar nilai bersama. Selain daripada Furnivall dan Smith, P.L. Van Den Berghe juga memberikan sumbangan terhadap perbincangan mengenai konsep masyarakat majmuk. Beliau membezakan kemajmukkan sosial iaitu masyarakat dipecahkan kepada kelompok korporat dan bukannya budaya daripada kemajmukkan budaya iaitu wujud daripada beberapa kelompok etnik.
Ketiga-tiga tokoh ini menekankan konflik dan perpecahan sebagai unsur ketara dalam masyarakat majmuk. Pendirian ini amat bertentangan dengan pendekatan fungsional yang mendakwa bahawa masyarakat majmuk wujud atas dasar konsensus dan nilai bersama. Oleh yang demikian, tidak hairanlah beberapa kritikan mengenai idea atau teori masyarakat majmuk juga datang daripada ahli fungsional. Walau bagaimanapun, teori ini mempunyai kelebihannya iaitu salah satu percubaan untuk membentuk satu teori secara umum mengenai hubungan ras. Teori ini cuba memasukkan pentingnya unsur ras dan etnik ke dalam satu rangka dasar berbentuk konseptual dan merupakan satu syarat asas untuk memahami sifat hubungan ras.


ANALISIS SEJARAH PENDUDUK MALAYSIA
Sebelum abad ke-18, penduduk di Tanah Melayu dan kepulauan borneo ketika itu didominasi oleh orang Asli, orang Melayu dan kaum bumiputera Sabah dan Sarawak. Migrasi daripada luar juga berlaku tetapi jumlahnya terhad. Selain itu, terdapat juga kaum pendatang daripada Sumatera, Indonesia. Tetapi tidak menjejaskan corak masyarakat ketika itu kerana kaum pendatang ini adalah daripada rumpun bangsa yang sama (James P. Ongkili, 1985:4).
Pada awal abad ke-18, perubahan dalam struktur masyarakat berlaku di Malaysia disebabkan oleh fenomena migrasi dari luar yang berlaku akibat faktor penarik yang ada di bumi mahupun faktor penolak di negara asal masing-masing yang bertanggungjawab mencernakan perubahan yang berkekalan sehingga ke hari ini. Struktur masyarakat di Malaysia berubah adalah disebabkan migrasi daripada luar dan juga faktor penolak dan penarik. Migrasi ini berlaku sedikit demi sedikit sebelum penjajahan barat, tetapi berleluasa setelah penjajahan berlaku. Aktiviti ekonomi dan perladangan menjadi faktor utama dalam aktiviti migrasi daripada luar terutamanya daripada China dan India.
Menurut B.W. Andaya dan L.Y Andaya (1983:159), masyarakat Cina daripada negara China sebenarnya ingin keluar daripada hidup penuh dengan kemiskinan dan penderitaan. Oleh itu, mereka terpaksa keluar berhijrah sehingga ke Tanah Melayu. Kemasukan buruh-buruh Cina ke Tanah Melayu melalui beberapa cara yang dikenalpasti diusahakan oleh orang Cina sendiri yang telah menetap lama di Tanah Melayu melalui sistem tiket yang sangat popular. Menurut W.L. Blythe (1953:3), bilangan buruh Cina yang berhijrah memang ramai dan sentiasa bertambah dari semasa ke semasa. Namun angka yang tepat sukar ditentukan kerana ketiadaan dokumen yang sah dan kemasukan secara haram ke Tanah Melayu.
Kemasukkan masyarakat Cina ke Tanah Melayu menunjukkan bermulanya proses pembentukan masyarakat majmuk daripada pengaruh masyarakat Cina yang semakin bertambah. Pengaruh masyarakat Cina ke Tanah Melayu telah mengubah corak dan sistem sosial Alam Melayu dan juga masyarakat Melayu ketika itu. Kedatangan masyarakat Melayu ke Tanah Melayu akhirnya telah membentuk satu masyarakat baru iaitu Baba Nyonya dan Cina Muslim. Wujudnya golongan baru ini membawa kepelbagaian atau kemajmukkan masyarakat di Malaysia dan mengambarkan keunikannya pada pandangan masyarakat luar.
Migran kedua terbesar selepas China adalah kelompok daripada India. Kebanyakan mereka berasal daripada India Selatan iaitu dari Negapatam dan Madras. India juga mengalami masalahnya tersendiri yang menyebabkan penduduknya berhijrah ke luar. Suasana di negara itu yang dilanda kemiskinan dan kebuluran yang mendorong penduduknya berhijrah keluar ke negara-negara lain termasuk ke Tanah Melayu ketika itu. Migran India datang sejak pembukaan Pulau Pinang oleh Inggeris. Pada waktu itu bilangan mereka masih kecil dan bertambah setelah Inggeris berjaya benguasai negeri-negeri Melayu.
Selain migran daripada negara China dan India, Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak juga menjadi tumpuan daripada masyarakat luar seperti dari Indonesia dan Ceylon. Namun, bilangan mereka jauh lebih rendah berbanding dengan buruh daripada China dan India. Kebanyakan pendatang Indonesia berasal daripada Jawa, Kalimantan (Banjarmasin), Celebes, Timor dan Sulawesi serta beberapa bahagain kepulauan yang berhampiran dengan Selat Melaka.. Pendatang daripada Indonesia juga berbilang suku kaum dan etnik antaranya orang Jawa, Bugis, Minang dan Banjar. Menurut S.N. Arseculeratne (1991:8), pendatang dari Ceylon kebanyakannya terdiri daripada kaum Sinhalese. Mereka datang dari kawasan pantai selatan negara tersebut. Mereka datang dengan jumlah yang agak ramai selepas abad ke-19 berterusan hingga abad ke-20. Kedatangan berterusan ini disebabkan penjajahan British di Ceylon. Faktor ekomoni adalah bukan faktor utama penghijrahan mereka, sebaliknya mereka ingin mencari rezeki yang lebih berbanding apa yang mereka dapat di negara asal mereka (S.N. Arseculeratne,1991:10).
Setelah kemasukan migran daripada luar, bermulalah proses pembentukan masyarakat majmuk yang berbilang kaum seperti sekarang. Proses pembentukan masyarakat pada mulanya sukar kerana berbeza fahaman, amalan, ras dan etnik serta kehidupan seharian. Banyak konflik yang berlaku dalam proses pembentukan ini seperti peristiwa 13 mei 1969. Apabila konflik berlaku dalam masyarakat majmuk, konflik berkenaan mengikut garisan pemisah ras, bukan garisan kelas. Pengambilan pekerja buruh daripada luar di buat secara tetap sudah pasti akan menimbulkan masalah sosio-ekonomi dan politik yang lebih membimbangkan dan bagi mengelak pembentukan masyarakat majmuk pelbagai etnik atau heterogeneous seperti mana yang cuba dielak oleh negara-negara Eropah Barat dan Telok (Weiner, 1990:143).
Campur tangan Inggeris di Tanah Melayu bermula apabila Francis Light menduduki Pulau Pinang pada Ogos 1786, menyebabkan kemasukkan migran secara besar-besaran daripada luar. Dalam jangka masa yang panjang semasa pemerintahan kolonial British di Malaysia iaitu selama lebih satu ratus lima puluh tahun bermula 1786 hingga 1957. Antara tahun itu, Malaysia telah diduduki oleh Jepun semasa perang dunia kedua. Walau bagaimanapun, jangka masa singkat itu dianggap tidak mempunyai signifikan yang besar kepada komposisi dan mobiliti penduduk. Masyarakat homogenis Melayu Tanah Melayu telah mengalami transformasi kepada masyarakat heterogenios Malaysia yang mengandungi etnik-etnik Melayu, Cina dan India sebagai komponen utamanya.
Setelah kemasukan migran dari luar akhirnya lahirnya kelompok dari keturunan Cina dan India yang berasimilasi dengan budaya tempatan seperti kelompok Baba-Nyonya yang berketurunan Cina dan kelompok Chitty yang berketurunan India. Asimilasi bangsa juga turut berlaku apabila perkahwinan antara orang asing dengan penduduk tempatan, maka wujud beberapa sub-kategori penduduk berdarah campuran seperti kelompok Peranakan, kelompok Syed dan lain-lain. Kini kebanyakan penduduk Malaysia mempunyai darah kacukan Melayu-Arab, Melayu-India, Melayu-Cina dan lain-lain.
Kesimpulannya, pembentukan masyarakat majmuk di Malaysia bermula apabila kemasukan migran daripada luar. Proses ini berterusan sehingga penjajahan British di Tanah Melayu. Oleh itu, wujud masyarakat berbilang kaum, ras, etnik dan bangsa di Malaysia. Kehadiran kelompok-kelompok ini menjadikan Malaysia sebuah negara yang kaya dengan budaya, adab resam, bahasa dan latar berlakang kebudayaan yang berlainan. Kemajmukan masyarakat Malaysia menjadikan negara ini menjadi tarikan masyarakat luar.





KESERASIAN HUBUNGAN ETNIK DI MALAYSIA
Hubungan etnik di Malaysia dapat dilihat dalam tiga fasa utama iaitu sebelum merdeka, selepas merdeka dan selepas hampir 50 tahun merdeka.

1.1 Sebelum Merdeka


Pada zaman penjajahan British, pelbagai dasar telah diperkenalkan menyebabkan jurang perbezaan antara etnik di negara ini menjadi amat ketara dalam semua bidang seperti politik, ekonomi, sosial, pendidikan dan tempat tinggal. Pihak British telah memperkenalkan dasar-dasar pembangunan ekonomi dan pada masa yang sama menggalakkan kemasukan buruh asing dari negara Cina dan India. Tindakan pihak British secara tidak langsung telah mengubah komposisi kaum di negara ini. Pada zaman penjajahan British, hubungan etnik terpisah dari segi budaya, ekonomi, politik, sosial dan tempat tinggal sehingga perang dunia kedua. Dasar Pecah dan Perintah (Divide and Rule) pihak British telah melahirkan masyarakat majmuk yang mempunyai ciri-ciri berbeza dari segi penempatan dan pekerjaan seperti berikut: -

· Etnik Melayu tertumpu di kawasan kampung-kampung dan bekerja sebagai petani, pesawah, nelayan, pertukangan dan sebagainya.

· Etnik Cina tertumpu di kawasan bandar dan bekerja di kawasan lombong, melibatkan diri dalam perniagaan runcit dan sebagainya.

· Etnik India tertumpu di kawasan estet dan lading-ladang. Bekerja sebagai penoreh, buruh binaan dan sebagainya.

Pada zaman pemerintahan Jepun pula, penindasan terhadap etnik Cina berlaku. Permusuhan ini adalah kesan daripada perang Jepun-China pada tahun 1937. Pihak Jepun menjaga hubungan baik dengan masyarakat Melayu dan orang-orang Melayu diberi peluang untuk bekerja dalam pentadbiran. Pihak Jepun juga menjaga hubungan baik dengan orang-orang India. Sistem pemerintahan Jepun yang berat sebelah telah mengundang permusuhan di kalangan etnik Cina dan Melayu. Etnik Cina aktif berpolitik dan menyertai Parti Komunis Malaya (PKM) untuk menentang Jepun. PKM berfungsi menjaga dan membela nasib orang Cina yang tertindas.

Parti politik Cina telah menyiksa orang-orang Melayu sebagai tanda membalas dendam setelah pihak Jepun berundur dari Tanah Melayu. Jurang di antara etnik pada zaman penjajahan adalah amat besar dan menimbulkan ketidakpuasan di kalangan pelbagai etnik di negara ini. Etnik Cina dan India berusaha ke arah mendapatkan taraf sama rata seperti etnik dominan Melayu. Secara tidak langsung, tindakan etnik Cina dan India telah mengundang rasa tidak puas hati di kalangan etnik Melayu sehingga tertubuhnya Malayan Union pada 1 April 1946 dan Isu Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948.

Walau bagaimanapun, untuk mendapatkan kemerdekaan ketiga-tiga etnik ini telah bersatu dan bekerjasama membentuk Parti Perikatan yang dianggotai oleh parti UMNO, MCA dan MIC. Pembentukan ketiga-tiga jenis parti ini telah banyak menyumbang kepada perpaduan dan integrasi nasional di kalangan etnik di negara ini. Berikut adalah beberapa ciri-ciri parti politik UMNO, MCA dan MIC: -

· Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) telah ditubuhkan pada tahun 1946. UMNO diasaskan oleh Dato Onn Jaafar. UMNO ditubuhkan bertujuan untuk menentang Malayan Union dan berjuang menuntut kemerdekaan.

· Persatuan Cina Tanah Melayu (MCA) telah ditubuhkan pada tahun 1949. MCA diasaskan oleh Tan Cheng Lock. MCA ditubuhkan bertujuan untuk melindungi kepentingan Cina dan bekerjasama dengan etnik lain untuk mencapai kemerdekaan.

· Kongres India Tanah Melayu (MIC) telah ditubuhkan pada Tahun 1949. MIC diasaskan oleh John Thivy. MIC ditubuhkan untuk menjaga kepentingan kaum India dan memperjuangkan kemerdekaan bersama etnik lain.

Tidak dinafikan secara tidak langsung kedatangan Inggeris telah membawa kepada usaha-usaha perpaduan melalui tindakan pembentukan Jawatankuasa Perhubungan Kaum. Hubungan etnik juga amat baik semasa menentang komunis.

1.2 Selepas Merdeka

Selepas merdeka, wujud kerjasama erat di kalangan etnik di Malaysia. Kerjasama erat juga wujud sebelum dan selepas penubuhan Malaysia. Ancaman-ancaman luar seperti konfrontasi Indonesia telah mengeratkan perpaduan kaum di Malaysia. Hubungan yang baik antara etnik mengundang kepada usaha nasional untuk merapatkan hubungan etnik sedia ada dari masa ke semasa. Beberapa dasar digubal oleh kerajaan telah banyak memberikan implikasi positif kepada perpaduan etnik di negara ini sehingga kini. Penglibatan semua kaum dalam perancangan negara secara tidak langsung membentuk keharmonian sehingga kini. Dari segi politik, orang Melayu diwakili oleh Parti Umno, orang Cina diwakili oleh MCA dan orang india diwakili oleh MIC. Perpaduan etnik telah membentuk Parti Perikatan dan akhirnya parti perikatan ini telah berjaya dalam pilihanraya untuk membentuk kerajaan sendiri. Beberapa dasar digubal oleh kerajaan untuk merapatkan hubungan etnik seperti berikut: -

· Dasar Pelajaran Kebangsaan


Pembentukan Dasar Pelajaran Kebangsaan dilaksanakan sebagai usaha untuk menyatupadukan murid-murid dari semua kumpulan etnik ke dalam satu sistem pelajaran yang sama dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Umumnya, dalam pendidikan usaha memupuk perpaduan dan persefahaman disalurkan melalui kurikulum dan ko-kurikulum sekolah. Matlamat penting dasar ini adalah memupuk perpaduan dan integrasi nasional melalui elemen-elemen seperti berikut: -

ü Pertama, penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di sekolah-sekolah dan institusi-institusi pengajian tinggi.

ü Kedua, menyediakan sukatan pelajaran yang sama kandungannya.

· Dasar Ekonomi Baru (DEB)

DEB termaktub dalam rangka Rancangan Jangka Panjang Pertama. DEB merupakan satu program jangka panjang yang mengambil masa selama 20 tahun. DEB dimulakan pada tahun 1970. Beberapa Matlamat utama DEB membantu dalam pembentukan integrasi nasional dalam pelaksanaannya adalah seperti berikut: -

ü Penyusunan semula masyarakat majmuk untuk mengurangkan dan menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi.

ü Membasmi kemiskinan. Ketidakseimbagan ekonomi etnik berpunca daripada dasar pecah dan perintah Inggeris. Pengelasan etnik mengikut pekerjaan dan pelajaran telah menyebabkan interaksi etnik Melayu, Cina serta India kurang berlaku.

ü Mengurangkan ketidakseimbangan dalam gunatenaga supaya penyertaan etnik adalah seimbang.

· Dasar Pembangunan Nasional

Dasar Pembangunan Nasional (DPN) merupakan kesinambungan kepada DEB yang berakhir pada tahun 1990. Program DPN meliputi perkara-perkara seperti berikut: -

ü Membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.

ü Memastikan keseimbangan kaum dalam pelbagai aspek.

ü Meningkatkan penggunaan sains dan teknologi.

ü Menerapkan nilai sosial, kerohanian dan amalan cintakan alam sekitar.

ü Meningkatkan peluang dan kemudahan pendidikan.

1.3 Selepas Hampir 50 Tahun Merdeka

Malaysia mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 dan sehingga kini, negara mengecapi kemerdekaan mencecah ke usia 52 tahun. Suatu tempoh yang cukup mematangkan dalam pembentukan sesebuah negara. Kemakmuran negara pada hari ini adalah disebabkan oleh wujudnya persefahaman dan sikap toleransi di kalangan etnik berbilang bangsa, budaya dan agama. Pembentukan dasar menyeluruh dan kesinambungan program pembangunan negara telah banyak membantu dalam membentuk hubungan erat di kalangan etnik di negara ini. Pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang, pelaksanaan misi Wawasan 2020 dan rancangan-rangcangan pembangunan banyak membantu dalam membentuk dan mengekalkan hubungan etnik yang baik di kalangan masyarakat majmuk berbilang kaum, bangsa dan agama.

Umpamanya, dalam Wawasan 2020 digariskan pelbagai cabaran yang perlu dihadapi melibatkan hubungan etnik untuk menjadikan negara maju menjelang tahun 2020. Wawasan 2020 diwujudkan bertujuan untuk membentuk sebuah negara Malaysia yang benar-benar maju menjelang tahun 2020. Dalam wawasan ini, sembilan cabaran berkaitan dengan hubungan etnik dikenalpasti untuk dihadapi seperti berikut: -

ü Membentuk negara bersatu padu dan satu bangsa Malaysia yang mempunyai kesetiaan politik dan dedikasi kepada negara.

ü Mewujudkan masyarakat berjiwa bebas, tenteram dan maju dengan keyakinan terhadap diri sendiri, bangga dengan apa yang ada dan gagah menghadapi pelbagai masalah.

ü Membentuk dan memperkembang masyarakat demokratik matang yang mengamalkan satu bentuk demokrasi Malaysia unggul berasaskan muafakat dan musyawarah, dan dapat dicontohi oleh negara-negara membangun.

ü Mewujudkan masyarakat bermoral dan beretika sepenuhnya dengan warganegara Malaysia mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian utuh serta didorong oleh piawaian etika paling tinggi.

ü Mewujudkan masyarakat matang bersifat liberal dan bertoleransi dengan setaip rakyat bebas mengamalkan adat, kebudayaan dan kepercayaan agama masing-masing serta pada masa yang sama meletakkan kesetiaan mereka pada satu negara.

ü Mewujudkan masyarakat saintifik dan progresif, masyarakat berdaya cipta serta berpandangan jauh iaitu masyarakat yang bukan saja menjadi pengguna teknologi tetapi menjadi penyumbang kepada tamadun saintifik dan teknologi masa depan.

ü Membentuk masyarakat berbudi dan berbudaya penyayang, sebuah masyarakat yang lebih mementingkan masyarakat berbanding diri sendiri.

ü Membentuk masyarakat yang adil ekonominya iaitu masyarakat yang melaksanakan pengagihan kekayaan secara adil dan saksama.

ü Membentuk masyarakat makmur dengan ekonomi yang mampu menghadapi persaingan, bersifat dinamik dan ada daya ketahanan.

2.0 HUBUNGAN ETNIK: PENCAPAIAN SELEPAS HAMPIR 50 TAHUN MERDEKA

Pencapaian negara selepas hampir 50 tahun merdeka sehingga kini jelas memperlihatkan perubahan cemerlang termasuklah dalam memupuk hubungan etnik di negara ini. Hubungan etnik yang baik dan harmoni menjadikan Malaysia cemerlang serta unik di mata dunia. Hubungan etnik dan pencapaian selepas hampir 50 tahun dapat dilihat dalam pelbagai perkara antaranya dalam aspek politik, ekonomi, budaya dan agama.

2.1 Politik

Perlembagaan Malaysia banyak menyumbang kepada perpaduan etnik di negara ini. Melalui perlembagaan Malaysia, ketuanan Melayu selaku penduduk dominan di negara ini terpelihara dan pada masa yang sama kepentingan etnik lain tidak diabaikan sebaliknya wujud toleran untuk mereka hidup aman dan makmur di negara ini. Perlembagaan sentiasa dipinda dari masa ke semasa mengikut kepentingan sejagat dan menyeluruh. Menurut Md. Bohari Ahmad (1997), Tun Mohamed Suffian telah mengariskan ciri-ciri asas perlembagaan Malaysia seperti berikut[4]: -

ü Perlembagaan mengasaskan Malaysia sebagai sebuah persekutuan.

ü Sebagai negara raja berperlembagaan.

ü Sebagai negara demokrasi berpalimen.

ü Perlembagaan memperuntukkan Islam sebagai agama rasmi persekutuan tetapi pada masa yang sama tidak mengasaskan Malaysia sebagai negara teokrasi dan dengan jelas menjamin kebebasan beragama.

ü Perlembagaan memperuntukkan ketinggian perlembagaan dan kebebasan undang-undang.

ü Perlembagaan memperuntukkan pengasingan kuasa ketiga-tiga cabang kerajaan bermakna seluruh jentera pentadbiran bukan saja eksekutif yang diketuai oleh Perdana Menteri dan dibantu oleh cabinet serta seluruh birokrasi. Ketiga-tiga cabang adalah Parlimen, Eksekutif dan Badan Kehakiman. Ketiga-tiga mempunyai status sama dan tiada satu yang lebih tinggi di antara satu sama lain serta setiap satu mempunyai fungsi dan tanggungjawab berbeza.

ü Perlembagaan memperuntukkan sebuah badan kehakiman yang berasingan dan bebas daripada kawalam Parlimen dan Eksekutif malah mempunyai bidang kuasa eksekutif untuk menentukan pertikaian dan hak-hak serta liability lain dalam Perlembagaan.

Selepas 50 tahun merdeka kita dapati kesinambungan perkongsian pemerintahan terus berlangsung sehingga kini. Parti Perikatan UMNO, MCA dan MIC terus berlangsung sehingga kini walaupun wujud persaingan dengan parti pembangkang yang lain. UMNO didominasi oleh orang-orang Melayu, MCA didominasi oleh orang-orang Cina dan MIC didominasi oleh orang-orang India. Setiap etnik diwakili dalam pentadbiran negara. Secara tidak langsung hal ini menunjukkan bahawa tiada sekatan untuk etnik-etnik lain selain etnik Melayu menceburkan diri dalam bidang politik.

Walaupun dalam bidang pentadbiran keutamaan diberikan kepada etnik Melayu namun etnik-etnik lain turut diberi peluang untuk mewakili etnik mereka melibatkan diri secara langsung dalam pentadbiran negara.



2.2 Ekonomi

Dalam rancangan pembangunan nasional, aspek etnik turut menjadi keutamaan. Pelbagai dasar dan program pembangunan dirangka dan dilaksanakan demi untuk mencapai kemajuan menyeluruh meliputi semua lapisan etnik di negara ini. Dalam Rancangan Malaysia ke-9, terdapat rancangan lima tahun yang menjadi pemacu kepada misi nasional ke arah mencapai wawasan 2020. Di bawah pemerintahan Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi, Rancangan Malaysia ke-9 merupakan kesinambungan perancangan kerajaan membentuk negara yang maju dari segi ekonomi, seimbang dari segi pembangunan sosial, memiliki masyarakat bersatu padu, berbudaya, berpekerti mulia, berkemahiran, berfikiran maju dan berpandangan jauh. Terdapat lima teras yang menjadi misi nasional yang menyumbang kepada perpaduan etnik di Malaysia seperti berikut: -

ü Teras Pertama: Meningkatkan Nilai Tambah Dalam Ekonomi Negara

o Meningkatkan nilai tambah dalam sector pembuatan, perkhidmatan dan pertanian.
o Menjana sumber kekayaan baru melalui ICT dan bioteknologi.
o Meningkatkan pewujudan pekerja berpengetahuan dan berkemahiran tinggi.
o Menjadikan sektor swasta peneraju pembangunan ekonomi.
o Memperluas pasaran bagi produk dan perkhidmatan Malaysia.

ü Teras Kedua: Meningkatkan Keupayaan Pengetahuan dan Inovasi Negara serta Memupuk Minda Kelas Pertama

o Meningkatkan keupayaan dan penguasaan ilmu pengetahuan.
o Memperkukuhkan keupayaan R&D, Sains dan Inovasi.
o Memupuk masyarakat berbudaya dan memiliki kekuatan moral.
o Memperkasakan belia dan wanita.

ü Teras Ketiga: Menangani Masalah Ketidaseimbangan Sosioekonomi Secara Membina dan Produktif

o Basmi kemiskinan.
o Memacu pembangunan wilayah.
o Mengurangkan jurang kekayaan.
o Penstrukturan semula pola pekerjaan.
o Membangunkan masyarakat perdagangan dan perindustrian bumiputera generasi baru.
o Mencapai pembangunan lebih seimbang dan bermakna.

ü Teras Keempat: Meningkatkan Tahap dan Kemampuan Kualiti Hidup
o Memenuhi keperluan perumahan dan menambah baik perkhidmatan perbandaran.
o Menambah baik perkkhidmatan kesihatan.
o Menambah baik kemudahan prasarana pengangkutan.
o Menjamin bekalan tenaga mampan.
o Mempertingkat sistem pembekalan air dan menangani banjir.
o Memastikan pemuliharaan alam sekitar dan pengurusan sumber mampan.
o Membangunkan sukan.
o Menjamin pertahanan negara dan ketenteraman awam.

ü Teras Kelima: Mengukuhkan Keupayaan Institusi dan Keupayaan Pelaksanaan Negara

o Menggalakkan tadbir urus yang baik.
o Mempertingkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam.
o Pembangunan melalui kerjasama antarabangsa.

2.3 Budaya
Dari aspek budaya, wujud kebudayaan nasional yang menjadi asas perkongsian semua etnik tanpa mengira kaum, keturunan dan wilayah. Kebudayaan nasional menjadi asas kepada pembentukan bangsa, jati diri nasional dan perpaduan etnik. Kebudayaan nasional dibentuk berpandukan tiga prinsip dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan seperti berikut: -

ü Kebudayaan Kebangsaan Malaysia hendaklah berteraskan kepada kebudayaan rakyat asal negara ini.

ü Unsur-unsur kebudayaan lain yang sesuai dan wajar boleh diterima menjadi unsure kebudayaan kebangsaan.

ü Islam menjadi unsur penting dalam pembentukan kebudayaan kebangsaan.

Antara amalan masyarakat Malaysia adalah rumah terbuka. Rumah terbuka diadakan oleh semua etnik apabila tiba musim perayaan. Semua etnik saling kunjung-mengunjungi antara satu sama lain walaupun berbeza budaya dan agama. Amalan ini memperlihatkan usaha pelbagai etnik untuk mencari keserasian dan kesamaan agar perayaan dapat dirayakan bersama. Contohnya Perayaan Tahun Baru Cina, Perayaan Hari Deepavali, Pesta Gawai dan Pesta Keamataan memperlihatkan usaha etnik-etnik bukan melayu serta bukan beragama Islam menyediakan hidangan dan makanan halal agar dapat diraikan oleh masyarakat daripada etnik Melayu. Sikap toleransi dan pertimbangan antara kaum jelas memperlihatkan keharmonian hubungan etnik terjalin kukuh, saling memahami dan menghormati budaya antara satu etnik dengan etnik yang lain. Hal ini jelas menunjukkan tentang integrasi sosial antara etnik walaupun berbeza budaya, agama dan bangsa.

2.4 Agama

Perpaduan hubungan etnik dapat dilihat dari aspek keagamaan. Amalan dan sikap toleransi beragama sehingga kini telah memupuk hubungan harmoni di kalangan etnik yang berbilang agama di negara ini. Di Malaysia, umumnya etnik Melayu beragama Islam, etnik Cina beragama Buddha dan etnik India beragama Hindu. Wujud juga beberapa etnik menganut agama Kristian. Agama Islam memberi penekanan kepada aspek keamanan, hubungan baik sesama umat manusia dan kebebasan dalam beragama. Surah Al-Baqarah ayat 256 menyatakan bahawa “Tidak ada paksaan dalam menganut agama, sesungguhnya telah jelas petunjuk itu daripada kesesatan”. Dalam Perlembagaan Malaysia juga dinyatakan bahawa agama Islam adalah agama rasmi persekutuan tetapi pada masa yang sama tidak mengasaskan Malaysia sebagai negara teokrasi dan dengan jelas menjamin kebebasan beragama di kalangan etnik berbilang agama di negara ini.














HUBUNGAN ETNIK DAN CABARAN

Pelbagai usaha dirancang dan dilancarkan demi untuk meneruskan usaha memupuk keharmonian kaum di negara ini. Pelbagai cabaran dihadapi dalam mengekalkan dan memupuk perpaduan etnik. Umumnya, cabaran dibahagikan kepada dua elemen utama iaitu cabaran internal dan external seperti berikut: -

ü Sikap sesetengah pihak yang mementingkan diri sendiri dan memperjuangkan hak etnik masing-masing serta cuba menidakkan etnik Melayu sebagai bangsa dominan di negara ini memberi cabaran hebat kepada hubungan etnik di negara ini. Tindakan pihak ketiga mencetuskan rasa tidak puas hati semua pihak yang pastinya mengundang kepada perpecahan.

ü Dasar “pecah dan perintah” oleh British memberi implikasi kepada hubungan etnik sehingga kini. Etnik Melayu, Cina dan India terasing dari segi penempatan dan jenis pekerjaan. Hal ini telah menyebabkan interaksi di kalangan etnik amat kurang khususnya yang tinggal dalam wilayah berbeza. Implikasinya terhadap hubungan etnik memperlihatkan perbezaan dari aspek lokasi berbeza merupakan perkembangan yang kurang sihat dalam pemupukan hubungan etnik di Malaysia.

ü Sistem pendidikan yang tersendiri memperlihatkan tentang dominasi mengikut kepentingan etnik masing-masing. Pelajar Melayu menuntut di sekolah Melayu dan menggunakan bahasa perantaraan bahasa Melayu. Pelajar Cina menuntut di sekolah Cina dan juga menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa perantaraan. Pelajar India menuntut di sekolah Tamil dan menggunakan bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar. Sistem persekolahan yang memisahkan pelajar mengikut bahasa ibunda dan perbezaan etnik kurang memainkan peranan yang berkesan bagi memupuk integrasi dan persefahaman dalam kalangan pelajar.

Hal ini menyebabkan interaksi antara etnik amat terhad dan interaksi hanya tertumpu dalam kumpulan etnik yang sama. Implikasi bagi hubungan etnik ini hanya memberikan kesan yang negatif kepada negara Malaysia. Hasilnya, masing-masing cuba mempertahankan bahasa ibunda. Termasuklah mengamalkan sistem pendidikan yang berbeza. Justeru itu, cabaran wujud dalam usaha membentuk suatu kesatuan sistem pendidikan bersepadu yang sesuai untuk semua etnik. Sistem pendidikan yang berbeza secara tidak langsung memberikan impak yang kurang baik kepada penstrukturan negara. Cabaran dalam aspek pendidikan harus dipandang serius oleh semua pihak kerana jika ini berlarutan akan wujud perasaan kekitaan di kalangan etnik masing-masing.

ü Cabaran dari aspek budaya juga harus diambil kira. Ini kerana bentuk penajajahan baru oleh kuasa-kuasa asing adalah melalui ledakan budaya. Masyarakat berbilang etnik terdedah kepada cara pergaulan bebas antara lelaki dan wanita. Aspek kepercayaan dan agama semakin dipinggirkan memandangkan terlalu memikirkan keseronokkan dunia.

ü Cabaran dari aspek ekonomi. Kepentingan etnik dari sudut ekonomi adalah melalui penguasaan ekonomi dan perbezaan pekerjaan. Etnik Melayu menguasai sektor pertanian yang memerlukan banyak tenaga sumber manusia dan berteknologi rendah. Etnik Cina menguasai sektor yang lebih maju seperti perniagaan, perdagagan dan menggunakan teknologi moden. Etnik India terlibat dengan perladangan di estet getah dan kelapa sawit. Wujud jurang pendapatan ketara di kalangan etnik. Masing-masing cuba bersaing mendapatkan hak dan keuntungan yang lebih besar.

Penguasaan ekonomi yang berbeza dan jurang pendapatan yang tidak seimbang mengakibatkan ketidakstabilan dalam masyarakat majmuk. Hal ini menimbulkan rasa tidak puas hati semua golongan etnik. Justeru itu, cabaran ini perlu diambil kira dalam menjaga perpaduan di kalangan etnik. Perpaduan di kalangan etnik tidak boleh dicapai tanpa kesaksamaan dan keseimbangan yang lebih besar dalam kalangan kumpulan sosial dan etnik melalui penyertaan mereka dalam pembangunan negara dan dalam perkongsian manfaat daripada permodenan dan pertumbuhan ekonomi.
ü Cabaran dari aspek politik. Politik perkauman boleh menimbulkan perasaan kurang senang hati dan mengukuhkan semangat perkauman jika sesuatu tindakan diambil tanpa mendapat kata sepakat. Isu-isu perkauman seperti bahasa, kebudayaan, pendidikan, agama, kerakyatan, dan ekonomi jika dipergunakan untuk tujuan berpolitik tidak akan mampu menyumbang ke arah masyarakat yang bersatu padu. Semua etnik saling berusaha untuk mengekalkan identiti masing-masing sehingga boleh membawa kepada hilangnya semangat memupuk semangat taat setia kepada negara.

ü Cabaran dari aspek nilai-nilai etnik. Setiap etnik di Malaysia mempunyai perbezaan dari segi agama, bahasa, dan kebudayaan. Kaum Melayu, Cina dan India mempunyai agama, bahasa dan kebudayaan berbeza. Perbezaan ini bertambah sukar apabila setiap etnik fanatik dengan bahasa dan kebudayaan masing-masing. Kesannya, setiap etnik lebih mengutamakan anggota sendiri daripada etnik yang berbeza dalam memilih sahabat dan mendapatkan perkerjaan. Kesukaran untuk hidup dalam satu kelompok yang sama akan menimbulkan kekecohan di kawasan tersebut. Ini kerana masyarakat pelbagai etnik mempunyai masalah dalam berkomunikasi dengan etnik-etnik lain memandangkan mereka terbiasa hidup dengan masyarakat dalam etnik yang sama.

ü Cabaran dari segi globalisasi. Semua etnik perlu berani menyahut cabaran globalisasi agar tidak ketinggalan dalam arus kemajuan dalam bidang teknologi dan perkembangan komunikasi. Aspek cabaran globalisasi perlu diambil kira dalam memupuk semangat perpaduan etnik di Malaysia. Setiap perancangan dan pelaksanaan program perpaduan perlu mengambil kira cabaran globalisasi agar jurang di antara etnik dapat









Persoalannya bagaimana untuk menguruskan hubungan etnik di Malaysia?
Profesor Robert Park, ahli sosiologis hubungan etnik dalam bukunya The Nature of Race Relations (1950) menegaskan, hubungan etnik secara lumrahnya akan wujud bila dua atau lebih kumpulan yang berbeza budaya, agama dan adat berada dalam ruang yang sama.Situasi hubungan etnik hanya wujud bila kumpulan tersebut menyedari adanya perbezaan. Jika mereka tidak menyedari atau mengambil sikap mengabaikan perbezaan itu, maka hubungan etnik tidak akan menjadi satu isu yang perlu diuruskan.Dua kerangka utama yang sering digunakan untuk memahami hubungan etnik ialah model asimilasi dan juga model pluralisme. Asimilasi merujuk kepada usaha untuk meningkat kebersamaan dan keserasian antara etnik di sesebuah negara.Maka itu Perlembagaan Persekutuan dibentuk untuk mewujudkan kebersamaan tersebut. Penarafan Bahasa Melayu dan agama Islam sebagai entiti rasmi negara adalah strategi untuk membina kebersamaan tersebut. Malah cadangan pembentukan sekolah satu aliran juga sebenarnya satu lagi usaha untuk membina keserasian antara kaum.Kerangka asimilasi boleh dijayakan menerusi empat peringkat utama iaitu asimilasi budaya, struktur, psikologi dan biologikal. Model pluralisme pula merujuk kepada usaha menjayakan hubungan dengan meraikan kepelbagaian etnik melalui budaya, sukan, muzik, fesyen dan makanan.Ia akan membina toleransi identiti dan seterusnya meningkatkan usaha hubungan etnik.Bagi menjayakan hubungan etnik ini, yang utama ialah seluruh rakyat menghayati dan memahami Perlembagaan Persekutuan berkaitan dengan hubungan etnik sebagai asas bersama. Kegagalan memahaminya akan menyebabkan kita kembali berpolemik.Kajian oleh Nur Atiqah T. Abdullah (2006) di Pusat Pengajian Umum UKM mengenai Perlembagaan Persekutuan menunjukkan, tahap pengetahuan responden daripada semua etnik masih rendah.Maka tidaklah hairanlah apabila sebahagian besar rakyat dengan begitu mudah berjaya dieksploitasi oleh ahli politik yang berkepentingan peribadi. Pengetahuan yang rendah akan mendedahkan rakyat kepada risiko perbalahan antara kaum dan menjejaskan kestabilan negara.Perlembagaan Persekutuan merupakan sumber tertinggi perundangan negara. Semua undang-undang yang digubal perlu memenuhi semangat dan aturan yang termaktub di dalamnya.Satu bangsa Malaysia hanya boleh wujud secara realistik bila keluhuran perlembagaan diterima, dihormati dan dihayati oleh seluruh lapisan masyarakat pelbagai etnik di negara ini.














RUMUSAN
Malaysia mengecapi kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 setelah lebih dari 100 tahun berada di bawah kekuasaan dan penjajahan kuasa-kuasa asing dan sehingga kini negara telah mengecapi kemerdekaan hampir mencecah 52 tahun. Penjajahan dan pemerintahan kuasa-kuasa asing seperti British dan Jepun meninggalkan implikasi kepada negara secara tidak langsung. Termasuklah mempengaruhi populasi rakyat Malaysia sehingga kini. Kewujudan masyarakat majmuk di negara ini dipercayai semakin ketara di zaman pemerintahan British yang menggalakkan migrasi orang-orang Cina dan India ke negara ini untuk bekerja sebagai buruh kasar. Dasar Pecah dan Perintah yang diamalkan oleh pihak British telah memberi kesan yang amat besar kepada penyatuan kaum di negara ini. Populasi etnik di Malaysia sehingga kini meliputi tiga etnik terbesar iaitu Melayu, Cina dan India. Pelbagai usaha diambil untuk meneruskan agenda nasional dan secara tidak langsung memupuk ke arah hubungan etnik yang harmoni dan bersatu padu. Diantaranya adalah pelaksanaan Wawasan 2020, pelaksanaan pelan pembangunan lima tahun, Dasar Pelajaran Kebangsaan, Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan sebagainya. Usaha untuk memupuk perhubungan etnik di negara ini tidak akan mencapai matlamatnya tanpa adanya kerjasama daripada semua pihak.

Dalam era globalisasi terdapat banyak cabaran yang mampu menggugat perpaduan di kalangan etnik di negara ini. Isu-isu internal dan external menyumbang kepada kegoyahan hubungan etnik jika tidak ditangani dengan bijak. Kestabilan ekonomi dan politik merupakan asas kepada perpaduan hubungan etnik. Perpaduan yang dikecapi pada hari ini perlu dihargai agar terus dirasai oleh generasi akan datang. Kegagalan mengekalkan perpaduan memudahkan dominasi negara-negara lain untuk menakluki negara kita. Semua etnik tanpa mengira batas agama, budaya dan adat perlu belajar daripada sejarah agar sejarah penjajahan yang telah berlangsung lebih dari seratus tahun tidak akan berulang. Cabaran era globalisasi hadir tanpa mampu dielak oleh sesebuah negara. Justeru itu, sesebuah negara perlu bijak dalam membuat perancangan agar dapat mengharungi cabaran yang datang. Keupayaan sesebuah negara mengharungi cabaran-cabaran dengan baik mampu menjadikan negara berkenaan sebaris dengan negara-negara maju yang lain.














BIBLIOGRAFI
1.Abdul Latiff Abu Bakar. (1996). Melaka dan Arus Gerakan Kebangsaan Malaysia. Institut Kajian Sejarah Malaysia Cawangan Melaka dan Kerajaan Negeri Melaka (diterbitkan bersama Universiti Malaya, Kuala Lumpur)

2.Abdul Rahim Abu Bakar. (2001). Kelangsungan Hidup Bahasa Melayu Sebagai Tonggak Negara Barat Dalam Gelombang Globalisasi. Dewan Bahasa. Oktober 2001, Jilid 1 Bil.10

3.Ann Wan Seng. (1994). Perayaan Orang Cina. Kuala Lumpur. Penerbitan Fajar Bakti Sdn. Bhd.
Arena Wati. (1978). Pribumi Sabah (Kadazan/Dusun). Yayasan Sabah. Kota Kinabalu.

4.Asmad. (1990). Seni Kehidupan & Kemasyarakatan. Melaka. Associated Educational Distributors (m) Sdn. Bhd.

5.Asnarulkhadi Abu Samah & Jayum A. Jawan. (1997). Kenegaraan Malaysia. Serdang. Penerbit Universiti Putra Malaysia

6.Azman Anuar. (2009). Lebih 50 Tahun Pupuk Perpaduan.